Ibu kepada dua beradik yang sebelum ini dilaporkan hilang di surau Taman Bernam Jaya, Hulu Selangor bergegas meninggalkan kediamannya kira-kira jam 1.24 petang selepas Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim mengesahkan seorang lagi remaja berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang telah ditemui hari ini ketika di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 18 JANUARI 2024.

HULU SELANGOR – Keluarga mangsa kepada dua adik-beradik yang dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, di sini, pada 1 Januari lalu bergegas meninggalkan kediamannya pada jam 1.24 petang tadi.

Sebelum keluarga itu beredar, ibu mangsa sempat menemui petugas media dan enggan memberi maklum balas berhubung penemuan anak lelaki keduanya yang dijumpai, hari ini.

“Alhamdulillah Along, Angah selamat. Cuma minta tolong demi keselamatan saya, keluarga, kita dalam keadaan tidak tahu apa-apa.

“Insya-Allah lepas ini kita jumpa lagi, saya kena cepat, minta maaf sangat.

“Insya-Allah kita akan berjumpa lagi, saya akan beri kerjasama (dengan media) sepenuhnya,” katanya kepada MalaysiaGazette di luar pekarangan kediamannya di Taman Bernam Jaya, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, seorang daripada dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, Selangor pada 1 Januari lalu ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur, 11 Januari lalu.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada seorang lelaki berusia 17 tahun, 12 Januari lalu.

Jelasnya, mangsa mendakwa dirinya dicabul dan diperlakukan perkara tidak senonoh oleh seorang individu di sebuah hotel di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

Ketika ditanya tentang destinasinya, ibu mangsa hanya memberitahu mereka dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

“Saya ada urusan, nak ke IPD terdekat (IPD Hulu Selangor),” katanya.

Ibu mangsa turut meminta agar pihak media tidak mendedahkan identiti lima anaknya termasuk dua remaja itu.

“Minta tolong jaga muka anak saya, keselamatan kami sangat-sangat penting, kereta kami minta tolong (elak dedah),” katanya.

Dengan nada sebak, ibu mangsa turut merakamkan penghantaran kepada semua pihak yang membantu mengesan kedua-dua anak lelakinya.

“Saya faham, anda cukup faham apa terjadi, terima kasih atas segala doa segala bantuan yang sudah tolong (sebak), minta maaf,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast