Datuk Seri Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan kenderaannya disaman Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 4 Januari lalu.

Beliau yang memuatnaik tangkap layar saman tersebut bagaimanapun berkata, saman sebanyak RM80 itu telah selesai dibayar setelah ia dikeluarkan lebih dua minggu lalu.

“Tiba tiba dapat pesanan ringkas, notis saman parkir dari @SJcitycouncil. Saya klik ke pautan dan kurang 5 minit dapat selesaikan bayaran.

“Semenjak 2019 hampir semua PBT smart parking & bayaran juga boleh dilaksana dalam talian,” katanya di aplikasi X.

Amirudin berkata, beliau mendapat pesanan ringkas SMS pagi tadi yang menyatakan kenderaannya bernombor PRK3030 telah dikompaun oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 4 Januari lalu.

Kompaun tersebut dipercayai saman letak kereta.

Amirudin turut menasihatkan orang ramai agar membayar kompaun saman kereta masing-masing dan tidak meminta agar kompaun tersebut diluluskan.

“Ingat dapat notis saman klik bukan call Dato Bandar minta waive,” kata Naib Presiden PKR itu.

Dalam laman web MBSJ, kadar yang dibayar oleh Amirudin merangkumi kadar caj kompaun trafik dan clamping iaitu kompaun RM20, clamping RM50 dan caj perkhidmatan RM10. – MalaysiaGazette