KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki melakukan kelucahan melampau di tempat awam sekitar kawasan Damansara Damai kelmarin.
Perbuatan lelaki itu dipaparkan dalam sebuah video berdurasi 46 saat yang dimuat naik pada 15 Januari lalu memaparkan seorang wanita yang sedang berjoging diganggu secara seksual seorang lelaki menaiki motosikal sambil melakukan onani.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, pihaknya berjaya menahan suspek berusia 23 tahun di sebuah apartmen di Damansara Damai pada 16 Januari lepas.
“Kita dapat laparan pengadu pada 16 Januari lepas sebelum sebuah pasukan task force Balai Polis Kota Damansara membuat tangkapan sekitar pukul 11 malam hari yang sama.
“Siasatan lanjut ke atas suspek, polis telah berjaya merampas beberapa barang termasuk sehelai baju t-shirt, seluar pendek, sepasang kasut selipar getah, satu rangkaian kunci serta cukai jalan dan sebuah motorsikal jenis Yamaha Lagenda.
“Semakan rekod jenayah ke atas suspek didapati tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian air kencing didapati negatif. Kita siasat kes bawah Sesyen 377D Kanun Keseksaan,” katanya hari ini.
Beliau juga memohon kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden itu selain orang mencurigakan untuk segara tampil menghubungi balai berhampiran atau menghubungi bilik gerakan di talian 03-79662222.
Beberapa hari lepas media melaporkan seorang wanita berdepan detik menakutkan selepas mengalami gangguan seksual daripada seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika sedang berjoging sebelum satu video dikongsikan olehnya di akaun Tiktok baru-baru ini.
Menurut hantaran berkenaan, mangsa pada awalnya sedang berjoging di kawasan tersebut sebelum menyedari dirinya diekori seorang lelaki yang menaiki motosikal.
Wanita terbabit berkata, lelaki itu dipercayai mengekorinya sebanyak dua kali dengan berpusing-pusing di tempatnya melakukan aktiviti tersebut.
Kemudiannya, individu berkenaan difahamkan cuba berbual bersama wanita tersebut dengan berpura-pura bertanyakan jalan.
Mangsa mendakwa penunggang motosikal itu juga berpusing sebanyak empat kali di tempat sama sebelum kembali menghentikan motosikal di hadapannya dan membuka seluarnya untuk membuat perkara tidak senonoh. – MalaysiaGazette