KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kecewa dengan sikap kebanyakan negara Islam dan Arab dalam menentang kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel di Palestin.
Menurut beliau, mereka hanya menjadi penonton atau ada yang menjadi buah catur yang diatur oleh Zionis dan negara sekutunya supaya melakukan normalisasi terhadap rejim yang kejam itu.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, rejim Zionis juga memaksa Palestin menjadi mangsa kekejaman yang paling dahsyat itu untuk mengikuti arahan supaya ia menyerah kalah dan rakyat asalnya berpindah mengikut tempat yang ditentukan oleh Zionis atau mewujudkan negara boneka kepada Zionis.
“Sebenarnya, keseluruhan negara sekutu telah dikuasai oleh syaitan Zionis melalui jenteranya yang bernama Freemason dan cabang-cabang Zionis yang telah berjaya masuk ke dalam gerakan politik, ekonomi, media, pendidikan, sehinggalah hiburan dan lain-lain dalam negara tersebut.
“Walaupun berlaku kebangkitan rakyat yang berperikemanusiaan melakukan protes terbuka terhadap kerajaan mereka dan adanya pungutan suara yang majoriti mempamerkan kebencian terhadap Zionis kerana keganasan yang berlaku, keadaan tersebut tidak mampu mengubah sikap kerajaan masing-masing yang terus mahu sehidup semati dengan negara Zionis itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Setakat ini, tiada tindakan konkrit diambil oleh negara-negara Arab dan Barat yang bersekutu dengan Israel bagi mendesak rejim Zionis itu menghentikan keganasan di Gaza.
Hampir 25,000 penduduk Gaza terbunuh dan lebih 60,000 cedera sejak konflik tercetus semula di wilayah Palestin itu 7 Oktober lalu.
Abdul Hadi mendakwa, gerakan Zionis telah berjaya meletakkan ahlinya ke dalam parti-parti yang berkuasa memerintah negara tersebut atau sesiapa sahaja yang boleh digunakan sebagai alatnya.
Beliau menambah, calon-calon tersebut dimenangkan melalui pilihan raya demokrasi secara rasuah dan menipu bagi memenangkan sesiapa sahaja yang paling kuat bersama Zionis.
“Sehinggakan, semua negara tersebut dapat mempengaruhi semua pertubuhan antarabangsa, bermula daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), sehinggalah agensi media yang paling besar dan berpengaruh,” jelasnya.
Abdul Hadi memberitahu, negara-negara tersebut sebenarnya terlibat secara langsung dalam menubuhkan negara haram Israel di Palestin iaitu dengan merompak tanah air daripada rakyat asal Palestin secara ganas pada 1948.
“Israel dibekalkan pula dengan segala senjata, termasuk senjata pemusnah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette
Malaysia juga termasuk amat patuh kepada PBB dan perjanjian negara² NAM.. inilah alasan MALAYSIA menolak panggilan JIHAD yang telah dikeluarkan oleh ulama sedunia.. nauzubillahi min zalik!!!…