PUCHONG – Kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang diingatkan supaya memberikan kerjasama dan ketepikan kepentingan politik kepada kerajaan pusat khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sekiranya berlaku bencana alam.
Tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ia perlu demi memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan sekaligus memudahkan bantuan kepada mangsa.
“Ada di kalangan kerajaan negeri rasa soal banjir, bencana tanggungjawab kerajaan pusat. Kerjasama harus terjalin daripada kerajaan pusat, kerajaan negeri juga peringkat daerah.
“Ini bukan hanya soal tebatan banjir tetapi di dalam soal pengurusan bencana.
“Kami di kerajaan pusat dan NADMA buta warna soal bencana namun adalah lebih baik kerajaan negeri memberikan respon dan tanggungjawab yang segera kepada apa juga operasi yang kita lakukan,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Amanat 2024 bersama NADMA di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, peranan semua pihak dalam pengurusan bencana akan memudahkan bukan hanya gerak atur ketika kejadian malah pasca bencana termasuklah memastikan mangsa mendapatkan bantuan.
“Pasca bencana dalam soal ini ramai yang membantu ketika berlaku bencana tetapi tidak tamai membantu selepas bencana,” katanya lagi.
Terdahulu dalam ucapannya Zahid berkata NADMA tidak pernah bergerak secara solo ketika menguruskan bencana dalam negara.- MalaysiaGazette