Bicara Tokoh bersama Yang di-Petua Dewan Negara, Tan Sri Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berjudul 'Akta Anti Lompat Parti dan Kestabilan Kerajaan' di Pejabat Majlis Profesor Negara, Kajang. Foto SYADILA AMARI, 19 JANUARI 2024.
Bicara Tokoh bersama Yang di-Petua Dewan Negara, Tan Sri Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berjudul 'Akta Anti Lompat Parti dan Kestabilan Kerajaan' di Pejabat Majlis Profesor Negara, Kajang. Foto SYADILA AMARI, 19 JANUARI 2024.

KAJANG – Tindakan sesebuah parti membuat pindaan pada perlembagaannya bagi menghalang ahli-ahli terutamanya Ahli Parlimen untuk mengalih sokongan kepada pihak lawan boleh dicabar di mahkamah.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pindaan itu hanya boleh digunakan setelah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Malah Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berpendapat, kerajaan perlu meminda semula Akta Anti Lompat Parti dan menutup kelompongan yang ada dalam akta tersebut.

“Apabila satu parti buat satu keputusan pindaan, hanya ROS yang menentukan sama ada pindaan itu sah atau tidak, selepas pindaan itu disahkan tetapi akhirnya mahkamah akan tentukan sama ada pindaan itu mencukupi atau tidak.

“Pindaan kepada undang-undang lebih baik untuk menangani perkara ini kerana ia lebih terperinci dan akan datang dari undang-undang itu sendiri daripada diterangkan di tempat lain,” katanya kepada media selepas menghadiri Bicara Tokoh bersama berjudul Akta Anti Lompat Parti dan Kestabilan Kerajaan anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) di sini hari ini.

Hadir sama adalah Presiden MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose.

Minggu lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pindaan pada perlembagaan parti tahun lepas menghalang ahli Parlimen parti itu membelakangi keputusan parti termasuk berkenaan menyokong mana-mana orang sebagai perdana menteri.

Malah Asyraf menjelaskan, keahlian ahli Parlimen UMNO yang menyertai suatu ‘pakatan’ yang tidak dianggotai parti akan tergugur secara automatik.

Dalam pada itu, perlembagaan DAP dan Amanah pula menyatakan wakil rakyat yang tidak mengikut arahan parti dalam isu-isu asas akan kehilangan keahlian secara automatik.

Kongres Khas DAP 2022 pada September tahun lalu juga meluluskan pindaan perlembagaan yang melarang wakil rakyatnya melompat parti seiring pelulusan Akta Undang-Undang Antilompat Parti oleh Parlimen. – MalaysiaGazette