Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KLANG – Tidak mudah untuk siasat orang besar yang bertindak mencuri duit termasuk ‘Tun’, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa merujuk nama yang dinyatakan secara spesifik.

Jelas beliau, usaha menyiasat individu ternama sepatutnya disokong oleh semua pihak kerana ia merupakan langkah untuk menjaga negara dan rakyat.

“Sekarang masa nak terjemah setahun berlalu tingkatkan usaha. Tidak mudah (sebab) hutang banyak curi duit, curi, curi. Banyak kes kalau kita ambil tindakan marah kata Perdana Menteri ni kasar sangat ambil tidnakan.

“Bagi saya aneh, Sepatutnya you sokong bukan senang tau mahu siasat itu Tun. Siasat Ketua Kampung senang disiasat, cikgu sekolah Tamil lagi senang.

“Ini mahu siasat orang besar yang curi duit ingat senangkah? Tidak senang tapi kerana kita mahu ini negeri jangan bagi orang curi harta rakyat. Saya tidak peduli,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Pesta Ponggal yang diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Klang, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, isteri dan anak bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin diminta hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan.

Sebelum itu, SPRM menyita bangunan Menara Ilham milik keluarga Daim.

Mengulas lanjut Anwar berkata, sebagai seorang pemimpin tanggungjawab menjaga negara dan membela rakyat perlu digalas dengan sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan pemimpin masyarakat India supaya tidak terpengaruh dengan hujah yang bersifat perkauman melampau.

Sebaliknya katanya, tugas menjaga kebajikan masyarakat berkenaan perlu diutamakan.

“Semua program rakyat mesti kenal pasti masalah rakyat tanpa mengira kaum. Kritikan boleh diberikan tapi jangan dengar hujah-hujah perkauman yang melampau. Baik Melayu, Cina dan India.

“Ada masalah saya setuju, boleh bawa (bangkitkan) tapi bukan caranya untuk mengecam kerana ini akan membawa kekeliruan.  Saudara-saudara masyarakat India percayalah saya tidak jadi Perdana Menteri setelah bersusah payah masuk keluar penjara, dan hidup susah puluhan tahun tapi ada jawatan lupa janji.

“Ingat saya datang ke Klang saya mahu jadi pemimpin negara baik PM, menteri atau MB atau exco mesti siap dengan satu dasar yang jelas fikir anak Cina anak saya, anak India anak saya, anak Kadazan dan Iban anak saya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast