BAGHDAD – Kumpulan pejuang Iraq mengaku bertanggungjawab menambak jatuh kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) berteknologi tinggi, MQ-9 Reaper, di daerah Diyala, kelmarin.

Menurut satu kenyataan, dalam kejadian jam 6.45 petang itu, dron yang berlepas dari pengkalan udara Amerika Syarikat (AS), Ali Salem, Kuwait ditembak jatuh di daerah Diyala di mana operasi menentang ‘pencerobohan AS di Iraq dan daerah itu’ terus dilakukan selain menyokong soladiriti penduduk Palestin di Gaza.

Katanya, ia merupakan operasi mempertahankan kedaulatan Iraq dan penentangan terhadap pelanggaran ruang udara yang kerap kali dilakukan AS.

Sehingga kini, Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) tidak mengeluarkan kenyataan mengenai insiden tersebut

Kejadian semalam merupakan insiden kedua dron MQ-9 ditembak jatuh.

Pada 8 November lalu, tentera Yemen menyiarkan rakaman operasi yang dilakukan mereka menembak jatuh dron MQ-9 Reaper di ruang uadara negara tersebut.

Dron yang dipercayai bernilai AS$32 juta itu berkeupayaan membawa pelbagai peluru berpandu dan ia dipercayai telah digunakan untuk melaksanakan plot pembunuhan berprofil tinggi di rantau ini. – MalaysiaGazette