Barisan penyampai baharu Suria FM, Datuk Fizz Fairuz, Chiwan Cilok dan Kai

KUALA LUMPUR – Suria FM menampilkan barisan penyampai baharu, Datuk Fizz Fairuz, Chiwan Cilok dan Kai Hassan sebagai langkah strategik agar terus kekal relevan.

Langkah strategik itu bagi meningkatkan mutu dengan menghasilkan produk yang lebih menarik, sekali gus memberikan yang terbaik kepada pendengar setia Suria FM

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin berkata, kemasukan penyampai baharu di Suria FM itu merupakan salah satu langkah Suria seiring dengan keperluan semasa.

“Muka-muka baharu ini diambil untuk memantapkan dan mengukuhkan lagi tunggak utama barisan penyampai sebelum menjelang ‘Radio Survey’ yang akan berlangsung bermula 18 Februari hingga 30 Mac 2024 ini.

“Setiap penyampai dipilih melalui proses pemilihan yang teliti, menekankan kemahiran profesional dan pengalaman luas selain mempunyai bakat serta minat yang mendalam dalam bidang penyiaran radio,” katanya.

Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin

Fizz Fairuz bakal ke udara di segmen Morning Morning Suria bersama Ajak dan Suraya pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Manakala Kai Hassan bakal ke udara dan mengambil alih segmen Morning Morning Suria dan Carta Suria Top 40 sepanjang tempoh Suraya bersalin bagi memastikan kelangsungan kualiti kandungan kedua-dua segmen.

Sementara itu, Chiwan Cilok pula akan bergandingan bersama Rara menemani petang pendengar menerusi segmen Suria Petang pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 3 sehingga 7 petang.

Selain memperkenalkan penyampai baharu, Suria FM juga mengumumkan tentang seleksi program menarik bagi tahun 2024.

Antaranya program Seikhlas Suria yang mana pihak Suria FM berbesar hari memberikan wang tunai sebanyak RM 24,000 kepada pendengar bagi menghargai mereka yang masih menyokong stesen radio itu.

“Pihak Suria FM juga menganjurkan suatu program CSR iaitu Ybae Suria Masuk Kampung bagi mendekatkan penyampai Suria bersama penduduk setempat untuk meraikan kedatangan Ramadan pada Mac nanti.

“Malah turut diadakan Kempen Raikan Yang Dirai brsempena Ramadan Raya yang bakal tiba dengan menghasilkan Drama Raya Suria 2024, lagu raya Suria, dan pelbagai program menarik,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web https://suria.my/ atau ikuti mereka di platform media sosial, Instagram, Facebook, TikTok dan YouTube. – Getaran, 21 Januari 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast