Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua, kanan) bersama Pengarah Tron Bradbury Energy Malaysia Zam Zalman (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bradbury Asset Management Hong Kong Keith Loo (kanan) menyempurnakan Majlis Pelancaran Syarikat Tron Bradbury Energy (TBE) di Port Klang Free Zone (PKFZ) Pulau Indah, Pelabuhan Klang hari ini.

PELABUHAN KLANG – Pengeluar automotif dan bateri kenderaan elektrik (EV), Tron Bradbury Energy (Malaysia) Sdn Bhd (TBE), akan membuka hab EV serantaunya di Malaysia yang berupaya menjana hasil dianggarkan melebihi RM2 bilion setahun.

Berikutan itu, syarikat berkenaan telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan pengurus aset Bradbury Asset Management (Hong Kong) Ltd dalam satu majlis di sini, pada Jumaat.

Hab itu akan terletak di Lembah Wawasan Malaysia (MVV).

Pengarah TBE Mohamad Zam Zalman Tik berkata hab berkenaan akan meningkatkan kapasitinya daripada operasi pemasangan EV dengan turut merangkumi kapasiti pengeluaran dan pengedaran serta kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bateri.

“Hab itu dijangka menjana hasil lebih daripada RM2 bilion setahun,” katanya pada majlis perasmian kilang pemasangan kenderaan EV pertama syarikat itu di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di sini.

Kilang yang menumpukan sistem penyimpanan tenaga dan komersial EV, telah dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sementara itu dalam ucapan beliau, Tengku Zafrul berkata TBE dijangka mentransformasi operasi pemasangan sedia ada di PKFZ kepada sebuah fasiliti pengeluaran khusus dan merancang mewujudkan kemudahan R&D bateri di Malaysia.

“Kedua-dua perancangan ini apabila direalisasikan kelak, akan menjadi satu langkah penting dan saya teruja untuk melihat impak serta peluang positif daripadanya ke atas rakyat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta Malaysia secara menyeluruh,” katanya.

Tengku Zafrul berkata walaupun industri EV agak baharu di Malaysia, statistik menunjukkan aliran peningkatan permintaan terhadap EV pada tahun lepas.

Ini termasuk jualan bateri EV (BEV) yang melonjak lebih 200 peratus tahun ke tahun kepada lebih 10,000 BEV daripada kira-kira 3,000 unit pada 2022, kata beliau.

“Jika kita gabungkan EV hibrid dan sepenuhnya, jumlah EV yang dijual pada tahun lepas adalah kira-kira lima peratus daripada 800,000 unit jualan keseluruhan industri (TIV) iaitu peningkatan sebanyak 70 peratus tahun ke tahun.

“Sasaran kita adalah untuk memastikan EV kita mencecah sekurang-kurangnya 20 peratus TIV menjelang 2030 dan 50 peratus menjelang 2040 serta 80 peratus menjelang 2050. Saya yakin kita berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran berkenaan,” katanya. – BERNAMA