Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur warga asing ditahan polis bagi membantu siasatan kes samun bersenjata di sebuah kedai haiwan, Taman Muda, Ampang pada 19 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya merampas beg galas, sehelai baju, seluar jeans, topi keledar dan sebilah parang panjang bagi membantu siasatan.

“Lebih kurang pukul 12 tengah hari, sepasukan pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya telah menangkap seorang lelaki warganegara asing.

“Dia berumur 31 tahun tidak berkerja di kawasan Ampang disyaki terlibat dalam kes disiasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dua individu menyamun sebuah kedai haiwan di Jalan Bunga Tanjung 18, Taman Muda di sini, kira-kira jam 3.26 petang, pada 22 November 2023.

Ketika kejadian itu, seorang pekerja berusia 54 tahun didatangi dua lelaki tidak dikenali di mana salah seorang mengeluarkan sebilah parang.

Suspek kemudiannya menarik leher baju lelaki tersebut sambil menuju ke peti juruwang serta mengarahkan kawannya menyerahkan wang.

Selain duit, suspek turut merampas satu beg hitam berisi buku dan ubat pada bahagian bawah meja dan terus keluar melarikan diri bersama rakan suspek yang menunggu di luar dengan menaiki motosikal.

Dalam pada itu, Mohd Azam juga berkata, ujian air kencing terhadap suspek mendapati warga asing itu positif dadah jenis methampetamine dan amphetamine.

“Siasatan awal mendapati suspek merupakan individu yang masuk dan mengacukan parang ke dalam kedai masa kejadian.

“Semakan lanjut juga dapati rakan sejenayah suspek telah dituduh atas kesalahan curi motorsikal sebelum ini,” katanya.

Suspek kemudian direman tujuh hari oleh Mahkamah Ampang di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 20 hingga 26 Januari 2024.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan rompakan berkumpulan bersenjata serta cuba menyebabkan kematian atau cedera parah.

“Hukuman Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette