Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melakukan gimik perasmian Program Wacana Pemikir Global 2024 ketika di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau sudah mengemukakan nama Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sarawak kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), minggu lalu.

Perdana Menteri berkata, nama calon bagi mengisi jawatan itu telah dikemukakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada beliau, baru-baru ini.

“Saya telah kemukakan calon (TYT Sarawak) nama itu kepada YDPA minggu lalu.

“Jika diperkenan, ia akan diumumkan mungkin dalam satu dua hari lagi,” katanya kepada pemberita, di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan Abang Johari berkata pelantikan TYT Sarawak adalah kuasa mutlak YDPA, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebelum ini, dilaporkan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar melepaskan jawatannya dan sedang bersiap sedia untuk menyandang jawatan TYT Sarawak bagi menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud.

Abdul Taib dilantik sebagai TYT Sarawak ketujuh pada 1 Mac 2014, bagi menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng. – MalaysiaGazette