Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A. Anbalagan.

SERI KEMBANGAN – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) intelektual ditemukan mati disyaki dipukul selepas beliau dikatakan telah mencubit anak kepada salah seorang suspek.

Tujuh suspek, termasuk tiga wanita, diberkas polis kerana disyaki mempunyai kaitan terhadap kematian mangsa.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada adik mangsa pada jam 12.12 tengah hari semalam memaklumkan bahawa wanita itu telah meninggal dunia.

“Bertindak atas aduan itu, pada hari yang sama jam lebih kurang 4 petang sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang telah berjaya membuat tangkapan ke atas tujuh orang suspek yang disyaki terlibat dalam kes bunuh yang sedang disiasat oleh polis.

“Kesemua suspek yang ditangkap itu terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita tempatan berusia lingkungan antara 25 hingga 79 tahun dan berasal dari Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Anbalagan, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambah beliau, siasatan mendapati motif kejadian disyaki mangsa dikatakan memarahi dan mencubit anak lelaki dan perempuan kepada salah seorang suspek yang berumur dua dan tiga tahun.

“Siasatan polis menunjukkan si mati telah dipukul oleh suspek dengan menggunakan kayu panjang dan mangsa diseterika secara berulang-ulang sehingga mengalami kecederaan pada tubuh badannya.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Idris Shah dan proses bedah siasat sedang dilaksanakan. Polis masih belum menerima keputusan penuh laporan bedah siasat bagi menentukan punca kematian mangsa,” ujar beliau.

Anbalagan berkata, empat suspek lelaki telah dihadapkan ke mahkamah dan dibenarkan direman selama seminggu bermula hari ini sehingga 28 Januari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, tiga lagi suspek wanita yang berumur lingkungan 25 hingga 79 tahun pula telah diberi jaminan oleh polis selepas diambil keterangan mereka.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Rosnani di talian 018-2771866. – MalaysiaGazette