Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim (tengah) mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan di Putrajaya, hari ini. - Gambar: Facebook Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, industri pelancongan perlu dirancakkan semula bagi menjana aktiviti-aktiviti ekonomi dan mewujudkan kesan limpahan kepada sektor-sektor ekonomi berkaitan.

Menurut beliau, antara kesan limpahan tersebut adalah meningkatkan pendapatan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

“Hatta kerajaan perlu cepat membangunkan produk dan infrastruktur pelancongan dengan kebersamaan pemain sektor swasta,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Anwar mengulas mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) yang dipengerusikan beliau pagi tadi.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad ahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

JKPK merupakan jawatankuasa khusus bagi menyelaras pembangunan industri pelancongan dan kebudayaan demi memajukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan pilihan utama dunia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menyentuh tentang kepentingan mempermudah dan mempercepatkan proses kelulusan berkaitan serta menambah baik operasi khususnya di lapangan terbang.

“Di samping itu, kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin dalam mencapai sasaran VM2026,” jelasnya. – MalaysiaGazette