Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahahtir Mohamad bercakap kepada media selepas selesai memberi keterangan kepada pegawai polis Bukit Aman berhubung kenyataannya berkenaan masyarakat India di negara ini masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ketika di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir merasakan beliau diperlakukan seperti seorang penjenayah setelah mendakwa lebih 10 kali disoal siasat polis.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sekiranya siasatan polis terhadapnya dijalankan mengikut batas undang-undang, maka beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Sekejap-sekejap saya disoal polis macam saya ini penjenayah, ada laporan sahaja polis tanya saya.

“Saya adalah rakyat yang mengikut undang-undang, kalau tanya saya mengikut undang-undang saya akan jawab,” katanya dalam sidang media selepas selesai memberikan keterangan kepada polis Bukit Aman.

Polis mengambil masa lebih sejam untuk merakamkan keterangan Mahathir seawal jam 3 petang.

Sepasukan tiga pegawai polis yang menaiki sebuah kenderaan tiba di pekarangan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini, jam 3 petang bagi merakamkan keterangan bekas Perdana Menteri itu.

Kesemua mereka dilihat meninggalkan pekarangan YKP pada jam 4.04 petang.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, beliau diajukan 19 soalan berhubung kenyataannya bahawa masyarakat India di negara ini masih tidak setia sepenuhnya kepada negara.

Beliau yang mentadbir negara sebanyak dua kali itu berkata, ada soalan yang dijawab beliau dan ada soalan yang akan dijawab di mahkamah.

“Ada soalan yang ditanya saya boleh jawab seperti di mana rakaman temubual tersebut, itu saya boleh jawab.

“Mereka tanya macam rakaman itu dibuat? Saya beritahu ia dibuat melalui Zoom, mereka ada di India. Tapi bila tanya mengenai kenyataan saya, mereka tunjuk rakaman video, saya tidak nampak apa yang salah.

“Saya ada hak mempunyai pendirian ataupun fahaman saya tapi nampaknya itu dikatakan salah. Mereka tanya, saya kata akan jawab di mahkamah,” katanya.

Mahathir mempersoalkan mengapa beliau sahaja yang disoal siasat sedangkan ramai lagi pihak luar yang membuat kenyataan rasis dan menyentuh isu 3R. (Kaum, Agaam dan Institusi Beraja).

“Kenapa saya seorang saya yang disiasat, banyak lagi yang membuat kenyataan rasis dan 3R tapi tidak disoal, banyak lain nama mereka dalam Pandora’s Papers, Panama Papers pun tidak disoal, mereka buat kenyataan sahaja sudah cukup.

“Takkan saya tidak boleh buat kenyataan, nama saya tidak ada dalam Pandora’s Papers, Panama Papers, saya disiasat oleh polis,” soal beliau.

Ditanya sama ada beliau mengemukakan bukti kepada penyiasat, Mahathir berkata: “Tidak ada, mereka cuma merekodkan kenyataan saya sahaja,”.

Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan Mahathir dalam satu temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit di India mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mencuri dan menyakau wang negara dan rakyat dikira jenayahlah. Apa yang kau buay pada orang lain kau dapat balik sebab Allah bayar cash Jadi tk payah lah nak merungut.

Comments are closed.