Kredit : JBPM

GERIK – Lelaki yang dipercayai terjatuh dari bot kecil rumah bot ketika menambat tali sauh di Tasik Temenggor petang semalam ditemukan lemas lewat malam tadi.

Mangsa, Muhamad Zulfaqar Zulkarnaen, 33, ditemui sekitar  11.18 malam oleh adik mangsa bersama rakan-rakannya yang turut membantu membuat pencarian di kawasan tersebut.

Difahamkan, mangsa bertanggungjawab mengurus rumah bot dan anak kepada seorang anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 6.20 petang.

Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan anggota dari BBP Gerik bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR).

“Operasi SAR dijalankan dan jarak ke lokasi mangsa dipercayai terjatuh adalah dalam anggaran 15 minit perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Beliau berkata, komander operasi melaporkan mangsa telah dijumpai oleh adik mangsa serta rakan-rakannya yang membuat pencarian menggunakan bot persendirian.

“Mereka melaksanakan teknik ‘casting’ pancing pada permukaan tasik yang mana telah tersangkut pada badan mangsa, seterusnya ditarik naik ke atas bot,” ujarnya.

Sabarodzi berkata, operasi SAR membabitkan 31 orang terdiri daripada anggota bomba dan polis, polis marin, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam (10).

Tambahnya, tujuh buah bot daripada bomba, polis, NGO serta orang awam turut digunakan dalam operasi SAR.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, mangsa telah ditunda menggunakan bot ke Jeti Trojan untuk diserahkan kepada pihak polis sekitar jam 12.15 tengah malam, untuk tindakan lanjut.

Operasi diketuai Ketua BBP Gerik, Penolong Penguasa Bomba Azizan Aziz tamat jam 12.30 tengah malam.

Terdahulu, MG Perak melaporkan mangsa dipercayai lemas selepas terjatuh dari rumah bot di Tasik Temenggor.

Susulan itu, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersama beberapa anggota da logistik dari balai berdekatan telah digerakkan termasuk bantuan Unit Anjing Pengesan K9. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast