Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superitenden Mohd Khairi Shafie mengetuk barang kes untuk pelupusan di Balai Polis Kapar, Klang, hari ini.

KLANG – Polis melupuskan barang kes hasil rampasan daripada aktiviti perjudian, kontraban, bitcoin, barang am dan barang berharga sepanjang 2021 hingga 2023 bernilai RM1.58 juta.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superitenden Mohd Khairi Shafie berkata, dari jumlah itu, sebanyak 402 kertas siasatan telah dibuka melibatkan 5,220 barang kes.

Kelulusan telah diterima daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk melupuskan sejumlah 1,156 barang kes perjudian, barang kes kontraban (3285), barang kes am (518) dan barang kes bitcoin (261).

“Turut dilupuskan barang kes barang berharga iaitu wang tunai berjumlah RM66,004 yang telah dirampas pihak polis,” katanya ketika membacakan teks ucapan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, di Balai Polis Kapar hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superitenden Mohd Khairi Shafie mengetuk barang kes untuk pelupusan di Balai Polis Kapar, Klang, hari ini.

Tambah Mohd Khairi, proses pelupusan barang kes itu dilakukan Syarikat Pandamaran Jaya Motor yang menerima pensijilan daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Kementerian, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.

“Mereka diberikan kebenaran untuk melakukan pelupusan bagi aset-aset kerajaan dan pelupusan yang dilakukan selari dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Bagi barang kes mesin Mining Bitcoin, pelupusan dibuat dengan cara menghancurkan mesin-mesin berkenaan secara manual,” katanya.

Katanya lagi, bagi barang kes minuman keras, cecair akan diasingkan secara kimia dan dilupuskan secara pemeruapan manakala botol dan tin akan dikitar semula.

“Manakala bagi barang kes rokok, kesemua rokok akan dibakar di dalam kebuk pembakaran. Bagi barang kes berharga berbentuk wang tunai, telah diserahkan kepada Perbendaharaan Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette