JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret Batu Pahat di sini hari ini menjadi tumpuan ramai apabila suspek utama kes bunuh Bella akan didakwa.
Ahli keluarga, rakan-rakan bella atau Mora Sharmila Samsusah itu memenuhi perkarangan mahkamah pagi ini dengan membawa plakad bertulis ‘Keadilan Untuk Bella’ dan ‘Apa Dosa Bella Sehingga Dibunuh Dengan Kejam’.
Suspek utama kes bunuh ibu tunggal anak dua tiba di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini untuk didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.20 minit pagi dengan dikawal ketat dan bergari oleh polis.
Bagaimanapun suspek yang berpakaian kurta hijau lembut kelihatan tenang sebaik tiba di mahkamah.
Semalam polis telah mengesahkan ujian DNA pada rangka yang ditemui baru-baru ini adalah milik Bella.
Selain itu, hari ini juga keluarga Bella yang sebelum ini yang turut menunggu suspek di luar perkarangan mahkamah dikatakan telah bergerak ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi proses menuntut jenazah yang disahkan milik Bella.
Difahamkan jenazazah Bella dijangka akan dikebumikan sebelum waktu solat Asar.
Difahamkan jenazah akan disembahyangkan di Majid Jamek Datuk Bentara Luar Batu Pahat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang.
Polis semalam telah mengesahkan penemuan rangka mayat tidak sempurna pada Jumaat lalu di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di sini adalah milik Bella.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengesahkan perkara itu berkata, laporan mendapati hasil analisis secara biologi sepadan dengan sampel yang diambil daripada ibu dan kakak Bella. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: