Tun Daim Zainuddin.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin mungkin akan dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa minggu depan.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, peguam bekas Menteri Kewangan itu memaklumkan Daim sudah dibenarkan keluar dari hospital hari ini.

“Peguamnya telah berkomunikasi dengan IO (pegawai penyiasat) saya memberitahu Daim sudah keluar dari hospital.

“Apa yang saya faham, dia dibenarkan keluar awal hari ini.

“Kini IO sedang berkomunikasi dengan peguam Daim untuk menetapkan tarikh untuk dia ke mahkamah,” kata Azam seperti yang dilaporkan Malaysiakini.

Pegawai tertinggi antirasuah itu berkata, SPRM akan memaklumkan kepada media sebaik sahaja mereka mempunyai tarikh untuk pendakwaan Daim di mahkamah.

Pada 15 Januari lalu media melaporkan, Daim masuk hospital yang menyebabkan proses merakam keterangan bekas menteri kewangan dengan SPRM ditangguhkan.

Dalam kenyataan susulan, SPRM berkata, notis dikeluarkan terhadap Daim mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009, pada 7 Jun 2023. Keluarganya juga turut dikenakan notis di bawah Seksyen 36(1)(b) akta sama.

Dua hari lalu, isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, tertuduh, Na’imah, 67, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.-MalaysiaGazette

 

SPRM sepatutnya sudah dakwa Daim tapi kini beliau di hospital – Azam