Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

PUCHONG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa masih tiada hala tuju yang jelas sehingga mengetepikan peranan ahli-ahli Parlimennya dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa, wakil rakyat parti itu jarang dilibatkan dalam mesyuarat parti dalam mendepani masalah peruntukan kawasan.

“Bersatu jarang panggil ahli-ahli Parlimennya berbincang dan bagaimana nak bantu supaya beri perkhidmatan di kawasan.

“Masalah kewangan jadi masalah besar semua ahli Parlimen. Kalau parti tak ambil perhatian, siapa lagi?” soalnya pada sidang media di kediamannya di sini hari ini.

Syed Abu Hussin berkata, ahli-ahli Parlimen mengharapkan pucuk pimpinan Bersatu melakukan reformasi parti bukan membuat pusingan U dengan mempertahankan kepimpinan presiden parti.

“Dalam ucapan kita cakap nak jaga dan bela orang kawasan kita. Setahun lebih tiada apa berlaku. Apabila dalam perhimpunan aging Bersatu tahun lepas, patut Bersatu reform ada tambah baik.

“Malangnya keputusan dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin buat pusingan U, kalau kehendak itu daripada perwakilan, kena sebut.

“Kuasa yang paling besar yang disebut ialah isteri Muhyiddin (pertahan jawatan Presiden),” katanya.

Syed Abu Hussin juga berkata, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempunyai potensi untuk menerajui pucuk pimpinan Bersatu berbanding Muhyiddin.

“Kami ahli Parlimen dan ahli lihat agar dapat kepimpinan ini diberikan nafas baharu. Larut (Hamzah) punyai potensi besar pimpin Bersatu dengan lebih dinamik,” katanya.

Mengulas soal peruntukan kawasan, Syed Abu Hussin bersama ahli-ahli Parlimen Bersatu lain rasa kecewa dengan kepimpinan Pas di negeri-negeri yang tidak membantu.

“Bersatu mengharapkan Pas dan kerajaan negeri yang dipimpin Pas tapi tak nampak sebab Pas ada pendirian tersendiri. Pas rasa kuat dan buat keputusan berlainan dalam setiap pilihan raya,” katanya.

Menurut beliau, langkahnya dan beberapa ahli Parlimen Bersatu menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai persediaan awal kerana Pas tidak lagi menganggap parti itu sebagai rakan kongsi.

“Pas akan buat gabungan dengan parti berlainan. PRU-16 nanti Pas takkan ambil Bersatu sebagai rakan dalam pilihan raya. Ahli Bersatu kena buat persediaan awal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette