Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin

KUALA LUMPUR – Mahkamah diberitahu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mula diseleweng pada 2009 namun tiada tindakan, aduan dan siasatan dilakukan pihak berkuasa.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin berkata, tindakan juga tidak diambil ke atas ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa telah menyeleweng dana itu.

“Tidak ada aduan daripada (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan SPRM.

“Tertuduh (Najib) juga tidak pernah arah anggota pengurusan jauhkan diri daripada Jho Low,” katanya yang juga antara penyiasat penyelewengan dana tersebut di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, hari ini.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Menurut Nur Aida, hasil siasatan SPRM mendapati Jho Low pernah menyertai percutian keluarga Najib di perairan selatan Perancis pada 2009.

Beliau yang merupakan saksi ke-49 memberitahu, Jho Low juga telah berjumpa ‘Prince Turki’ dan Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ltd, Tarek Obaid di atas kapal layar Golden Oddessy di perairan Greece dan Itali pada 2010.

Selain itu, katanya, Jho Low turut menguruskan pertemuan di atas kapal layar Topaz di perairan selatan Perancis pada 2013.

“Itu dipercayai turut disertai Putera Mahkota UAE, Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan dan Mohamed Badawy Al-Husseiny yang diurus Jho Low dan Tan Kim Loong,” dakwanya.

Bagaimanapun, katanya, Jho Low tidak pernah dilantik menjawat jawatan dalam kerajaan secara sah, termasuk jawatan dalam 1MDB namun ahli perniagaan itu memainkan peranan dalam operasi syarikat tersebut.

Najib juga pernah meminta bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Hanadzlah supaya tidak campur tangan dalam urusan 1MDB,” ujarnya.

Prosiding bersambung Isnin. – MalaysiaGazette