THE HAGUE – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memerintahkan Israel mengambil semua langkah untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai.
Dalam keputusan yang dibacakan oleh Presiden ICJ Hakim Joan E. Donoghue dari Amerika Syarikat yang mengetuai 16 hakim yang lain mengarahkan Israel untuk mengambil semua langkah dalam kuasanya untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai.
Katanya, Israel mesti mengambil langkah segera dan berkesan untuk membolehkan penyediaan perkhidmatan asas yang diperlukan dengan segera dan bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Hakim dari Israel, Aharon Barak menentang semua enam ketetapan yang diambil manakala hakim dari Uganda, Julia Sebutinde menentang empat ketetapan.
Turut bersidang Kirill Gevorgain (Rusia), Peter Tomka (Slovakia), Ronny Abraham (Perancis), Mohamed Bennouna (Maghribi), Abdulqawi Ahmed Yussuf (Somalia), Xue Hanqin (China), Dalveer Bhandari (India), Patrick Lipton Robinson (Jamaica), Nawaf Salam (Lubnan), Iwasawa Yuji (Jepun), Georg Nolte (Jerman) dan Hilary Charlesworth (Australia)
Berikut antara ketetapan yang diambil oleh ICJ:
Negara Israel hendaklah mengambil semua langkah untuk mencegah berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Gaza (15 menyokong 2 menentang)
Negara Israel hendaklah memastikan tentera tidak melakukan sebarang tindakan pembunuhan beramai-ramai (15-2)
Israel hendaklah mengambil semua langkah menghukum semua permintaan awam untuk pembunuhan beramai-ramai (16-1)
Israel hendaklah mengambil langkah segera dan berkesan untuk menangani keadaan buruk kepada kehidupan di Semenanjung Gaza (16-1)
Israel hendaklah mengambil langkah berkesan untuk mengekalkan bukti tindakan yang memberi kesan kepada Konvensyen Genosid (15-2)
Israel hendaklah menyerahkan kepada mahkamah laporan semua langkah yang diambil untuk mengikut perintah ICJ dalam masa satu bulan (15-2).-Agensi