TEHRAN – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak akan dapat bertahan untuk tempoh 10 minit jika Amerika Syarikat (AS) berhenti menyokongnya, kata Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian mengenai sokongan Washington terhadap rejim Zionis.

Dalam temu bual dengan rangkaian ABC semasa menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Palestin, Amirabdollahian berkata, dasar AS menyebabkan peningkatan ketegangan di Timur Tengah.

“Skop peperangan meluas. Ini bermakna bahaya peperangan di rantau ini meningkat,” katanya.

Beliau turut menyelar rejim AS dan Israel berikutan peningkatan ketegangan itu.

“Jika hari ini AS berhenti – menyokong logistik dan persenjataan, politik dan media – peperangan genocid yang dilancarkan Israel, saya pasti Netanyahu tidak dapat bertahan selama 10 minit.

“Oleh itu, kunci utama untuk menyelesaikan masalah ini ialah Washington sebelum Tel Aviv,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan Iran dengan Hamas, Amirabdollahian berkata: “Kami menyifatkan Hamas sebagai kumpulan pembebasan Palestin yang berjuang menentang pencerobohan,”.

“Sudah pasti kami tidak pernah menyokong pembunuhan wanita, kanak-kanak, orang awam di mana-mana di dunia. Kami tidak pernah menyokongnya.

Menafikan dakwaan Iran membekalkan senjata kepada tentera Yemen, Menteri Luar itu berkata, tentera AS mereka-reka cerita itu.

“Kebanyakannya, ini adalah rancangan televisyen,” ujarnya.

Mengenai pembunuhan pegawai tertinggi tentera Iran, Leftenan Jeneral Qassem Soleimani di Iraq pada Januari 2020, Amirabdollahian berkata: “Ia adalah kesilapan besar yang dilakukan Trump. Ia sesuatu yang kami tidak boleh lupakan,”.

Beliau menambah, Tehran mahu melihat ‘semua yang terlibat’ dalam serangan tersebut dihadapkan ke muka pengadilan. – Agensi