Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan program Tenaga Bersih Bersepadu (TBB) bagi 2024 akan menyokong inisiatif peralihan tenaga dan pengurangan jejak karbon yang dihasratkan negara selain menjana limpahan ekonomi.

Limpahan ekonomi dalam bentuk nilai pelaburan langsung berjumlah RM12 bilion dalam industri TBB dan mewujudkan sekurang-kurangnya 36,000 peluang pekerjaan kepada rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berkata, Hari Tenaga Bersih Antarabangsa (HTBA) diraikan pada 26 Januari ini untuk kali pertama di seluruh dunia selepas diumumkan secara rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 25 Ogos 2023.

Tujuan sambutan HTBA adalah untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan usaha masyarakat global dalam memenuhi komitmen peralihan tenaga yang saksama dan inklusif berdasarkan Matlamat Pembangunan Mapan atau Sustainable Development Goal (SDG) Ke-7.

SDG Ke-7 bertujuan memastikan akses kepada bekalan tenaga yang mampu bayar, boleh dipercayai, mapan dan moden.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam memimpin usaha negara dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mapan atau Sustainable Development Goal (SDG) Ke-7 berkaitan bekalan elektrik.

“Kami akan pastikan peralihan tenaga berdasarkan prinsip kesaksamaan, ketelusan, inklusiviti, dan daya saing. Komitmen kami termasuk mengurangkan jejak karbon dengan meningkatkan sumber TBB kepada 70 peratus pada 2050 dari hanya 25 peratus pada masa kini.

“Peningkatan ini akan diurus secara menyeluruh, memberi keutamaan kepada kebolehpercayaan sistem bekalan, keterjangkauan pengguna dan kelestarian sumber,” ujarnya.

Berdasarkan pertimbangan yang teliti ke atas faktor-faktor keupayaan sistem grid, permintaan bekalan elektrik hijau, nilai limpahan ekonomi serta kesanggupan membayar oleh pengguna, kerajaan akan melaksanakan inisiatif dan program TBB bagi tahun 2024.

Ia melibatkan Program Net Energy Metering (NEM) diteruskan dengan tawaran kuota tambahan sebanyak 100MW untuk NEM Rakyat dan 300MW untuk NEM NOVA.

Tempoh tawaran kuota ditetapkan sehingga Disember 2024 atau sehingga semua kuota habis diagihkan yang mana terdahulu.

Kuota tambahan boleh dimohon mulai 5 Februari 2024 melalui sistem eNEM di laman sesawang SEDA Malaysia (www.seda.gov.my).

Program ini akan membolehkan sekurang-kurangnya 25,000 pengguna elektrik domestik dan 100 pengguna kategori komersil dan industri memanfaatkan ruang bumbung di premis bangunan masing-masing untuk penjanaan bekalan elektrik bagi kegunaan sendiri melalui pemasangan sistem solar PV.

Program Large Scale Solar (LSS) untuk pembangunan loji jana kuasa solar dengan tawaran kuota 2,000MW akan dibuka mulai 1 April 2024 dengan penjualan dokumen Request for Proposal (RFP) oleh Suruhanjaya Tenaga.

Beberapa pembaharuan akan dilakukan bagi meningkatkan keberhasilan program ini termasuk mewujudkan kategori khas bagi pembangunan loji jana kuasa solar terapung dengan jumlah kuota 500MW dan peningkatan had penyertaan sebuah syarikat sehingga 500MW.

Pelaksanaan program LSS akan dibuat secara bidaan serta pada skala yang lebih besar bagi memastikan proses pemilihan pemaju secara telus dan adil serta untuk mendapatkan tawaran tarif penjanaan tenaga pada kadar yang paling kompetitif.

Program Penjanaan Tenaga Rendah Karbon (Low Carbon Energy Generation Programme) menerusi mekanisme New Enhanced Dispatched Arrangement (NEDA) akan dilaksanakan dengan jumlah kuota 400MW bagi membuka peluang penyertaan untuk pembangunan projek penjanaan daripada sumber bukan solar seperti sumber angin, hidro kecil, biogas, biojisim, hidrogen dan sebagainya.

Penyertaannya adalah berdasarkan prinsip first come, first served dan permohonan boleh dikemukakan mulai 5 Februari 2024 melalui laman sesawang Single Buyer di www.singlebuyer.com.my.

Pelaksanaan program ini mampu meningkatkan daya harap bekalan elektrik dengan mempelbagaikan sumber penjanaan TBB serta akan membuka bidang ekonomi baharu kepada pemaju untuk membangunkan loji jana kuasa berdasarkan sumber bukan solar dan Projek Rintis Sistem Penstoran Tenaga (Battery Energy Storage System- BESS) dengan jumlah kapasiti 400MWj akan dimulakan pada suku tahun pertama 2024.

Projek rintis ini akan dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dioperasikan oleh Grid System Operator (GSO) dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga.

Pelaksanaan projek rintis BESS ini akan menyokong aspirasi peralihan tenaga negara melalui pengukuhan sistem rangkaian grid bekalan elektrik.

Pada masa yang sama, kementerian, katanya, sedang mengkaji dan membangunkan program serta inisiatif baharu dalam bidang Tenaga Bersih Bersepadu (TBB) yang bersifat progresif, berdasarkan kemajuan dalam pembangunan sektor TBB dan permintaan akan bekalan elektrik hijau semasa.

“Semua usaha ini bertujuan untuk meningkatkan campuran TBB dalam pembekalan elektrik negara sambil membuka lebih banyak peluang dan akses kepada bekalan elektrik hijau,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast