GEORGE TOWN – Semua kakitangan pejabat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seluruh negara akan terlibat dalam bengkel Wang Tidak Dituntut (WTD) anjuran Kementerian Kewangan melalui Jabatan Akauntan Negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, ia bagi meningkatkan kesedaran rakyat untuk menuntut kembali wang milik mereka susulan jumlah WTD kini meningkat kepada RM11.7 bilion Disember lalu berbanding RM11.3 bilion yang direkodkan enam bulan sebelumnya.
“Ini semua adalah baki wang rakyat meliputi dari akaun simpanan, insurans, deposit termasuk dividen tidak dituntut hingga jumlahnya mencecah RM11.7 billion.
“Angka ini bukan sahaja tinggi malah menunjukkan tahap kesedaran rakyat dalam membuat tuntutan tersebut masih rendah.
“Justeru, kita ambil langkah dengan mengadakan kempen dan pameran untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai WTD,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pembeeita selepas melakukan Walkabout Pemberian Limau sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Chowrasta di sini hari ini.
Tambah Hui Ying, bagi peringkat permulaan, pihaknya melalui Jabatan Akauntan Negara mengadakan bengkel bersama semua kakitangan pejabat Ahli Parlimen dan ADUN bagi membolehkan mereka membantu serta memberikan penerangan kepada masyarakat berhubung WTD di pusat khidmat masing-masing.
“Pulau Pinang akan menjadi negeri perintis dalam pelaksanaan bengkel tersebut dan ia akan diadakan pada 6 Februari depan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hui Ying berkata, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi Fasa Satu bertambah 26 peratus kepada RM2.1 bilion daripada RM1.67 bilion pada tahun lalu.
“Seramai 8.2 juta individu yang layak telah berdaftar untuk STR 2024 akan menerima bayaran secara berperingkat mulai Isnin ini,” katanya. – MalaysiaGazette