Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad enggan memberi sebarang ulasan berkenaan isu pencen penjawat awam mahupun wakil rakyat sehingga beliau selesai meneliti perkara berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata, perkara yang menjadi perhatian umum sejak beberapa hari kebelakangan ini masih baharu dan kerajaan negeri masih belum meneliti sebarang kertas yang boleh dikaji.

“Saya nak baca kertas Kabinet dahulu, hadam baru kita boleh buat ulasan,” jawabnya ringkat pada sidang media bersempena Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini, pada Ahad.

Tambah Saarani, sama seperti Kerajaan Persekutuan, Perak turut mempunyai penjawat awam negeri yang berjawatan tetap dan merupakan penerima pencen selain berstatus kontrak.

“Jadi, saya tidak mahu komen apa-apa sebab takut tidak sama dengan apa yang disebutkan (kerajaan Persekutuan), tapi saya tahu bahawa cadangan ini pernah dibincangkan oleh beberapa kerajaan sebelum ini dan bukannya secara tiba-tiba.

“Saya pasti (keputusan Kabinet) ada rasionalnya tersendiri, sehubungan itu, kita akan meneliti dan melihat apa kesan (mansuh pencen) kepada sistem pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Presiden Amanah, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Terdahulu media melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Beliau berkata, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast