Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bersatu dan Pas digesa menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara “en-bloc” untuk meneruskan pentadbiran Kerajaan Perpaduan sehingga habis penggal.

Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Zaid Ibrahim berkata, ini kerana sistem Parlimen ala Westminster tidak berfungsi di negara ini.

“Ia hanya berfungsi apabila pembangkang cukup besar untuk membentuk kerajaan.

“Bukan di mana parti-parti kecil yang pecah dengan cara pakatan berpelukan untuk membentuk kerajaan.

“(Malah) pembangkang tidak mempunyai pemimpin dan hubungan baik dengan monarki (Istana Negara),” katanya dalam hantaran terkini di akaun platform X (Twetter) miliknya, hari ini.

Beliau juga berkata, dalam sistem Westminster, kerajaan tidak mengecualikan peruntukan pembangunan kepada kawasan yang dipegang oleh parti pembangkang.

“Dalam sistem Putrajaya, ahli Parlimen pembangkang yang mahukan dana pembangunan mesti menyokong Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya, dalam sistem Westminster, Raja tidak memainkan peranan aktif dalam memilih Perdana Menteri.

“Itulah sebabnya, di Thailand, mereka mengambil masa 50 hari untuk memilih PM selepas hari pengundian.

“Parti politik di sana terpaksa menyelesaikan perkara ini.

“Dalam sistem Putrajaya, raja menjadinya pilihan untuk Kerajaan Perpaduan diketahui, dan begitulah cara Anwar Ibrahim dipilih sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Tambahnya, seorang Perdana Menteri seperti Anwar jelas disenangi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang dilihat kerap keluar dan masuk ke Istana Negara.

“Anwar akan sentiasa berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menjadi Perdana Menteri untuk tempoh yang lama,” katanya.

Katanya lagi, parti Anwar iaitu PKR dan sekutu rapatnya DAP tidak perlu mempunyai 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

“Saya boleh meneka bahawa jika kesihatannya mengizinkan, dia boleh mengatasi Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat.

“Itu sebabnya Bersatu dan Pas yang mewakili orang Melayu, harus menyokong Anwar dengan cara itu.

“Anwar harus berlaku adil kepada semua parti yang menyokongnya, bukan hanya UMNO dan DAP.

“Begitulah cara pembangunan negeri-negeri Melayu dapat dicapai,” katanya.

Beliau turut berkata, DAP bakal mendapat tawaran terbaik dalam keadaan orang Melayu tidak tahu mengatur diri.

“Tidak hairanlah saya mendengar perbualan di sebuah kafe semalam bahawa DAP kini mewakili Parti Tindakan Pembangunan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette