BMW X5 xDrive50e M Sport

KUALA LUMPUR – BMW Malaysia hari ini mengumumkan harga rasmi bagi BMW X5 xDrive50e M Sport, varian PHEV terbaharu kepada jentera Sports Activity Vehicle (SAV) yang dikenali sebagai “The Boss”.

Hadir dalam varian M Sport, BMW X5 xDrive50e menyertai barisan kenderaan premium keluaran BMW Group yang dipasang di dalam negara untuk pasaran Malaysia.

BMW X5 xDrive50e M Sport melihat banyak penambahbaikan dari segi prestasi dan keefisienan, dengan peningkatan kuasa serta jarak operasi elektrik, ia menggandingkan ciri atletik dengan keelegenan yang pasti mencuri perhatian semasa menyusuri jalan raya di Malaysia.

BMW X5 xDrive50e M Sport baharu menampilkan rangkaian kuasa PHEV yang diperkayakan, mampu membekalkan output gabungan berjumlah 489 hp serta tork bernilai 700 Nm.

Kuasa gabungan daripada enjin petrol enam sebaris 3.0 liter serta motor elektriknya yang hebat membolehkan BMW X5 xDrive50e M Sport baharu membuat pecutan abad dalam masa 4.8 saat.

Bukan itu sahaja, keupayaan elektrik PHEV ini turut melihat penambahbaikan, menawarkan jarak operasi elektrik sejauh 110 km (WLTP) dan kapasiti pengecasan yang lebih baik pada 7.4 kW, membolehkannya dicas dari 0-100% hanya dalam tempoh 4.5 jam.

Dengan Pelan Pembiayaan ‘Easy Drive’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW X5 xDrive50e M Sport baharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan yang bermula daripada RM6,014.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun), selepas Rebat Tunai ‘Easy Drive’ berjumlah RM10,000 yang ditawarkan sehingga 31 Mac 2024 terpakai, berdasarkan terma dan syarat.

Pemilik BMW X5 xDrive50e M Sport baharu juga dapat menikmati pengalaman pemilikan premium yang dijanjikan oleh BMW Group Malaysia, ia meliputi bantuan tepi jalan dan talian kemalangan dan servis dalam talian BMW.

Harga runcit bagi BMW X5 xDrive50e M Sport baharu termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) RM486,800. – MalaysiaGazette