Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berucap pada Program Townhall Discussion Bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM di Bangunan Persatuan Hokkien Klang. Foto MOHD ADZLAN, 29 JANUARI 2024.

KLANG – Polis berjaya menyelamatkan 84 mangsa dalam kalangan pelbagai warganegara dalam Ops Pintas Mega (Pemerdagangan Orang – TIP) yang dijalankan di seluruh negara pada 22 dan 23 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dari jumlah itu, seramai 12 individu adalah lelaki, 22 wanita dan 10 kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Mangsa diselamatkan di bawah Seksyen 44, Akta Anti pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Mangsa terdiri daripada Filipina (8), Indonesia (7), Bangladesh (3), Kemboja (1), Myanmar (17), Thailand (15), Vietnam (5), Nepal (2), China (5) dan etnik Rohingya (3).

“Dari jumlah itu juga, empat adalah orang kurang upaya (OKU) masing-masing dua lelaki dan dua perempuan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Town Hall Discussion Kesejahteraan Komuniti Kemakmuran Bersama di bangunan Persatuan Hokkien Klang.

Menurut Mohd Shuhaily, sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 42 serbuan dan 285 tangkapan melibatkan warganegara tempatan dna warganegara asing berjaya dilakukan di seluruh negara.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12 & 14 Akta Atisom 2007, Seksyen 558, Seksyen 15(1)(C) dan 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 Per. 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“PDRM memandangkan serius ke atas aktiviti jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu dan kumpulan jenayah yang melakukan jenayah ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette