PERMAISURI – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menangkap seekor ular sawa batik sepanjang enam meter dianggarkan seberat 100 kilogram (kg) yang telah membaham dua ekor kambing milik penduduk Kampung Hulu Seladang, di sini semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu Kapten (PA) Mohd Nizu Husien berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penternak pada kira-kira pukul 8 pagi tadi memaklumkan reptilia itu berada di dalam kandang kambing miliknya dan telah menelan seekor daripada dua kambing tersebut.
Sebaik menerima laporan, seramai empat anggota dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.
“APM mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap haiwan terbabit yang kekenyangan kerana menelan anak kambing manakala bangkai seekor kambing betina dewasa berada berdekatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohd Nizu berkata seramai enam orang termasuk bantuan dua penduduk kampung bekerjasama mengangkat ular tersebut ke kenderaan milik APM.
Katanya, penternak terbabit memaklumkan sebelum ini hanya ayam peliharaannya sahaja yang pernah hilang dan kejadian kambingnya mati dibaham ular sawa itu adalah yang pertama kali berlaku.
“Ular itu dibawa ke pejabat APM Setiu sebelum di bawa ke pejabat APM Besut untuk diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan ular tersebut kelaparan akibat kejadian banjir yang melanda daerah tersebut selama beberapa hari pada hujung minggu lepas.
Beliau juga menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan kehadiran binatang liar dan berbisa pada musim ini kerana limpahan air di habitat semula jadi menyebabkan haiwan berkenaan keluar mencari tempat berlindung termasuk di kawasan rumah dan kandang haiwan ternakan. – BERNAMA