MELAKA – Siling tidak sekata, paip senget, tingkap tersekat dan lantai jubin tidak padat yang disifatkan lebih teruk dari kualiti rumah mampu milik, sedangkan unit kondominum dibeli berharga lebih RM250,000.
Itu kekecewaan dihadapi kira-kira 700 pembeli dua blok kondominium di Bukit Serindit, di sini, apabila mahligai impian yang dibeli pada 2019, tidak seperti yang dijanjikan.
Rata-rata pembeli mendakwa, kualiti bahagian dalam unit rumah berkeluasan kira-kira 850 kaki persegi itu tidak memenuhi spesifikasi seperti diiklankan sebaik sahaja menerima kunci pada 24 Januari lalu.
Seorang pembeli yang juga pengurus bank, Nor Baizura Burhanuddin, 39, berkata, segala kecacatan dan perubahan kualiti binaan itu tidak pernah dimaklumkan kepada mereka ketika projek itu sedang berjalan.
“Sebab itu, hari ini kami hendak dapatkan keadilan kerana banyak benda yang dijanjikan tidak diperolehi termasuklah nama asal residensi lain telah ditukar kepada nama lain.
“Kami hendak tahu apakah usaha penyelesaian bagi semua isu-isu ini termasuk memperbaiki ‘kecacatan’ dalaman rumah berharga lebih RM200,000 ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Jururawat hospital, Mohd Ridwan Abdul Satar, 33, berkata, tujuannnya membeli kondominium itu pada 2019 kerana dijanjikan sebagai persekitaran rumah yang dipenuhi kehijauan.
“Tapi apa yang kami dapat sekarang hanyalah dinding batu yang tak sempurna termasuk cat rumah yang belum duduk pun dah nampak terhakis.
“Banyak lagi fasiliti yang amat tidak menarik tidak setaraf iklannya sebagai kondominum dan kami tiada masalah menerima jika unit ini adalah pangsapuri mampu milik,” katanya.
Pesara, Asrol Dahari, 60, mendakwa, pembelian unit kondominium itu tidak berbaloi sama sekali dengan nilai harga yang dibayar kepada pemaju.
“Terlalu banyak kecacatan dihadapi lebih 50 peratus pembeli dan saya berharap pihak pemaju akan mengambil tindakan segera memperbaikinya,” luahnya.
Dilema dan kekecewaan dihadapi pembeli itu turut disuarakan dalam satu majlis dialog antara pembeli, pemaju dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Beliau ketika ditemui selepas dialog selama lebih tiga jam itu berkata, pihaknya memberi tempoh antara seminggu hingga sebulan kepada pemaju untuk menyelesaikan beberapa isu yang dibangkitkan pembeli. – MalaysiaGazette
Murahnya kondo harga RM250k jaa…
boleh bgtau nama pemaju? mcm mane boleh dpt ccc dari pihak kerajaan jika kualiti teruk sebegini? 2019? berapa tahun projek strata yg dibenarkan oleh kerajaan adakah terdapat pampasan dlm kes sebegini? kenapa lawyer yg di lantik untuk mewakili pembeli tidak membela hak pembeli? apa guna bayar pda lawyer semasa snp ditandatangani? mcm mane nama boleh diubah sesuka hati? adakah perubahan nama ini di beritahu kepada pembeli? semasa beli status ialah kondo, lepas siap jadi rumah mampu milik? krnapa tiada sebarang notis? adakah penukaran nama ini sah disisi undang2 bagaimana kerajaan boleh meluluskan permohonan sebegini?