Kredit: FB Polis Johor

JOHOR BAHRU – Polis menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi dan merampas 81,400 liter bahan api itu di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Plentong, Masai, di sini, semalam.

Ketua Polis Johor CP M Kumar dalam kenyataan berkata kesemua individu berusia 32 hingga 43 tahun dengan dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau itu ditahan pada 9.30 malam, hasil pemeriksaan yang dijalankan di premis itu.

“Pemeriksaan dilakukan kerana dipercayai terdapat aktiviti penyeludupan minyak diesel bersubsidi di premis tersebut dengan pemindahan dilakukan dari tangki skid ke dalam lori tangki dan seterusnya ke tangki IBC.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya menemukan tiga tangki skid, tiga tangki IBC yang mengandungi 81,400 liter minyak diesel bersubsidi itu,” katanya.

Turut dirampas ialah lima pam bermeter, tiga pam tanpa meter serta hos yang disambungkan dengan beberapa buah lori, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.- BERNAMA