Seorang petugas UNRWA mendukung kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan Israel ke atas Gaza.

GAZA CITY – New Zealand menjadi negara terkini menggantung pembiayaan untuk agensi pelarian Palestin PBB.

Perdana Menteri, Christopher Luxon berkata, New Zealand telah menghentikan sementara pembiayaan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Tindakan itu berkuatkuasa sehingga dakwaan Israel terhadap beberapa kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan ke atas negara zionis itu disiasat.

Kira-kira separuh daripada penderma utama UNRWA telah menghentikan pembiayaan mereka yang memberi bantuan kepada penduduk Palestin bukan sahaja di Gaza tetapi Baitulmaqdis Timur di Tebing Barat, Jordan, Lubnan, dan Syria.

Tindakan itu dimulakan oleh Amarika Syarikat kemudian diikuti negara lain termasuk Jerman, Switzerland, Itali, Kanada, Finland, Australia, United Kingdom, Belanda, AS, Perancis, Austria dan Jepun.

Sementara itu Setiausaha Agung, Antonio Guterres dilaporkan akan bertemu dengan penderma utama kepada agensi pelarian Palestin PBB minggu ini bagi membincangkan isu tersebut.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric dilaporkan berkata, Guterres telah bertemu Duta AS ke PBB Linda Thomas-Greenfield, selepas Washington menggantung sumbangannya.

“Kerja kemanusiaan kritikal yang PBB lakukan bukan sahaja di Gaza tetapi di seluruh rantau ini, perlu disokong. Nyawa rakyat bergantung kepadanya,” tambahnya dan berkata UNRWA menggaji lebih 13,000 orang di Gaza.

Katanya, UNRWA telah melancarkan penyiasatan penuh terhadap tuduhan Isreal dan “mengambil serius semua dakwaan yang telah dibuat.

Dengan mengingkari keputusan sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Israel meneruskan perangnya di Semenanjung Gaza.

Sekurang-kurangnya 26,637 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan 65,387 yang lain cedera sejak 7 Oktober, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin. – Agensi

1 Komen

  1. Sepatutnya semua negara Islam terutama negara2 Arab menghentikan hubungan diplomatik dan ekonomi dgn negara2 penyokong Israel ini, yg menyokong pembunuhan beramai2 kanak2 Palestine…shame on you!

Comments are closed.