Para kakitangan UTeM dalam Majlis Amanat Naib Canselor UTeM 2024 yang diadakan di Dewan Canselor, UTeM, baru-baru ini.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini mengumumkan enam inisiatif pakej bantuan tambahan untuk kakitangan yang sentiasa berusaha memajukan universiti tersebut.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pihak universiti sentiasa prihatin dan peka terhadap keperluan seluruh jentera sumber manusia, terutamanya dalam aspek kebajikan kakitangan.

”Dalam aspek kesihatan, UTeM meningkatkan kadar Klinik Panel dari RM50 kepada RM80 untuk setiap sesi rawatan dengan kadar siling per staf dan tanggungan sebanyak RM1,200 setahun.

”Untuk membantu meringankan bebanan perbelanjaan persekolahan anak kakitangan, bantuan persekolahan sebanyak RM300 akan diberikan kepada staf yang layak.

”Dana untuk sumbangan projek ini pula diperoleh daripada UTeM Holdings Sdn Bhd,” katanya demikian dalam Majlis Amanat Naib Canselor 2024 di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

Katanya, pada masa yang sama, UTeM juga sedang berusaha untuk memberikan subsidi sebanyak RM 180 kepada setiap staf UTeM yang menghantar anak mereka ke Taska UTeM.

Tambah beliau, UTeM turut akan memberikan subsidi sebanyak RM 2,500 bagi pembelian komputer atau komputer riba kepada staf gred 41 dan ke atas yang mengikut pilihan.

Bagi kakitangan yang menjadi ahli Koperasi UTeM Berhad bakal ditawarkan kemudahan pinjaman peribadi maksimum RM10,000 yang tertakluk kepada terma dan syarat

“Selain itu, pakej umrah percutian, pinjaman pembelian peralatan perabot, emas, barangan elektronik, pinjaman bermusim bagi perayaan dan persekolahan juga turut ditawarkan,” ujarnya.

Majlis tersebut dihadiri seramai lebih 1,800 kakitangan universiti termasuk kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM. – MalaysiaGazette