KUANTAN – Polis sedang menyiasat kejadian samun membabitkan seorang wanita berbangsa Cina di sebuah rumah di Taman Bukit Bendera, Mentakab petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, ia susulan tular satu klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian yang berlaku pada pukul 1.19 petang itu.
Beliau berkata, mangsa yang kerugian RM1,000 sudah membuat laporan berhubung kejadian tersebut.
“Kejadian berlaku semasa mangsa yang merupakan seorang akauntan sampai di rumahnya dan secara tiba-tiba didatangi seorang lelaki bangsa Cina,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Mazlan, mangsa ketika itu pulang setelah mengambil dua anak perempuannya dari sekolah dan membiarkan pagar rumahnya terbuka buat sementara waktu untuk menjemur pakaian di perkarangan rumah.
“Tiba-tiba sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih berhenti di hadapan rumah di mana suspek dilihat keluar dari arah kerusi pemandu.
“Sambil berjalan masuk ke rumah mangsa, suspek sempat menyapanya dengan panggilan aunty lalu menuju ke pintu kereta pengadu dan tidak semena-mena mengambil beg sandang milik mangsa,” katanya.
Menyedari perbuatan lelaki tersebut, dua anak perempuannya yang ketika itu masih berada di dalam kereta menjerit memanggil wanita berusia 38 tahun itu.
Berlaku pergelutan antara suspek dengan mangsa di mana mangsa bertindak menarik beg sandangnya sehingga dompet yang berada di dalam beg itu terjatuh.
Mazlan berkata, mangsa cuba mengejar suspek dan cuba menarik semula beg sandang namun tidak berjaya.
“Semakan CCTV tempat kejadian mengesahkan kejadian berlaku namun nombor pendaftaran kenderaan suspek tidak jelas,” tambahnya.
Tiada kecederaan yang dialami mangsa dan kerugian dianggarkan kira-kira RM1,000 iaitu beg sandang jenis MCM milik mangsa.
Kes diklasifikasi di bawah seksyen 392 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette