Amerika Syarikat menjadi contoh terbaik jika kita mahu lihat bagaimana darjat manusia dibahagikan kepada dua kutub. Di satu kutub, manusia hidup dengan limpahan kekayaan tidak terbayang banyaknya manakala di kutub yang lain manusia dihimpit dalam kitaran kemiskinan bergenerasi lamanya.
Negara AS memiliki populasi dengan kekayaan luar biasa paling banyak berbanding negara lain, menurut sumber Credit Suisse. Hal ini turut disokong dengan maklumat ketaksamarataan pendapataan berdasarkan indikator Pekali Gini. Sejumlah $5 trilion berada pada tangan 745 bilionair Amerika berbanding hanya $3 trilion yang dikongsi oleh separuh isi rumah termiskin.
Ironinya, sebanyak 17 juta atau 12.8 peratus isi rumah di Amerika Syarikat berhadapan dengan isu ketidakcukupan makanan pada tahun 2022. Kadar ini meningkat berbanding 10.2 peratus isi rumah pada tahun 2021.
Senario Yang Meresahkan
Perbandingan ini menimbulkan pertanyaan, adakah senario yang berlaku di Amerika Syarikat tadi akan berlaku di negara kita sendiri? Hakikatnya, peradaban manusia pada hari ini sudah terlalu terkait dan berpintal, menjadikan senario yang terjadi di satu benua akan berulang di benua yang lain; cepat atau lambat sahaja.
Ada beberapa senario yang wajar untuk kita renungi.
Senario pertama; ancaman perubahan iklim belum lagi menampakkan tanda-tanda memperlahan apatah lagi pulih kembali seperti era praperindustrian. Berdasarkan laporan oleh Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), suhu permukaan global telah meningkat dengan cukup ketara bagi tempoh 1950-2020 berbanding tempoh 1850-1950 iaitu sebanyak 1.1ºC. Hal ini sudah tentu berpunca daripada
aktiviti antropogenik dan trend ini dijangka terus menokok.
Meskipun pelbagai langkah adaptasi iklim telah dilaksanakan di semua sektor dan wilayah, namun wujud jurang yang akan terus melebar jika pelaksanaannya masih kekal pada kadar sedia ada. Itu belum mengambil kira kesan ‘maladaptation’ yang hanya menjadi langkah regresif dan memangsakan golongan terpinggir seperti orang asli dan isi rumah berpendapatan rendah.
Senario kedua; impak perubahan iklim tadi turut diburukkan oleh sikap kumpulan pemodal yang lahap. Persidangan Negara Ahli Ke-28 atau 28th Conference of the Parties (COP28) telah mencetuskan pelbagai kontroversi, bermula dengan pemilihan
Sultan Al-Jaber sebagai Presiden COP28. Beliau ialah CEO Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC), sudah tentu ingin menjaga kepentingan perniagaan hasil petroleumnya. Bukan sekadar itu, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) telah mengarahkan negara-negara ahlinya untuk menolak apa-apa teks atau formula yang mensasarkan bahan api fosil. Kesannya, terma “transition away” digunakan dalam teks akhir perjanjian berbanding terma “phase out” yang dikehendaki oleh kebanyakan negara lain malah lebih konkrit dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih.
Senario ketiga; pentadbiran AS sudah terlalu korup sehingga pemimpin tertinggi tidak mengerti untuk meletakkan kepentingan rakyat mereka sebagai keutamaan.
Buktinya, seperti disebutkan pada awal tulisan ini, negara AS terperangkap dalam konflik ketidakcukupan makanan walhal ekonomi mereka begitu kaya. Amati rajah di bawah untuk melihat di mana keutamaan pentadbiran AS. Mereka telah membelanjakan sebanyak $877 bilion, jumlah yang hampir sama dengan 10 negara seterusnya dalam perihal pertahanan untuk tahun kewangan 2022. Nilai ini bersamaan dengan 12 peratus daripada perbelanjaan persekutuan AS, termasuk sokongan ketenteraan yang diberikan kepada Israel di bawah program Foreign Military Financing (FMF).
Perbelanjaan tersebut telah menjadi kos melepas (opportunity cost) kepada rakyat di sana kerana ia boleh digunakan untuk menangani kemiskinan, menyediakan pendidikan dan sistem kesihatan yang berkualiti; faktor-faktor yang berkait rapat dengan kecukupan makanan rakyat.
Ketiga-tiga senario ini tidak harus menjadikan kita tunduk kepada sekumpulan kecil penguasa yang tidak mengendahkan malapetaka yang dilakukan sendiri oleh ketamakan mereka. Justeru, berpeluk tubuh bukanlah pilihannya jika kita mahu menyelamatkan sektor pertanian dan memastikan makanan terhidang di atas meja.
Kitaran Teknologi Sejak Era Prasejarah
Dunia telah menyaksikan empat kitaran yang telah mencorak bagaimana peradaban manusia memanipulasi dan berasimilasi dengan alam iaitu era pemburu-pengumpul, era agraria-perdagangan, era perindustrian dan era siber. Setiap satu daripadanya mengambil masa ratusan hingga ribuan tahun untuk berkembang.
Memasuki abad ke-19, perkembangan teknologi memecut dengan begitu pesat sehingga membentuk lengkungan hiperbola. Kitaran teknologi dimulakan apabila manusia meneroka amalan pertanian pada sekitar 12,000 tahun dahulu, lalu mengubah cara hidup mereka sebagai pemburupengumpul.
Dengan penciptaan kaedah cucuk tanam, manusia ketika itu boleh tinggal di petempatan tetap, seterusnya terdapat lebihan makanan yang membuka jalan kepada kewujudan sistem masyarakat yang lebih kompleks.
Kita terhutang budi dengan Tamadun Mesopotamia yang telah memperkenalkan satu alat pertanian pada kurun kelima belas Sebelum Masihi. Mereka mencipta bajak yang telah merancakkan produktiviti kumpulan petani. Pelbagai jenis tanaman boleh diusahakan, masyarakat telah berkembang biak dan aktiviti perdagangan merentas benua dapat direalisasikan.
Kembali ke zaman moden pula, salah satu ciptaan yang telah mendorong revolusi pertanian ialah proses Haber-Bosch. Diperkenalkan oleh seorang ahli kimia German Fritz Haber, beliau menghasilkan ammonia sintetik daripada gas nitrogen dan
hidrogen kemudian dikeluarkan secara besar-besaran. Ia digunakan sebagai baja bagi meningkatkan hasil tuaian malah menggantikan baja semula jadi yang terhad.
Meskipun terdapat kritikan di mana baja sintetik ini mencemarkan alam sekitar namun tidak dinafikan ciptaan Haber sangat penting untuk menyokong pertumbuhan populasi dunia.
Kita sedang berhadapan dengan pelbagai konflik; perubahan iklim, kegawatan rantaian bekalan global, kemiskinan struktural dan kebobrokan sistem kapitalisme. Kesannya telah mengancam sistem makanan sedunia. Banyak ciptaan teknologi yang telah melakukan revolusi pada era-era sebelum ini. Persoalannya, apa pula teknologi baharu yang kita perlukan pada hari ini?
Penulis: Ahmad Shauqi bin Johara (Yayasan Strategik Lestari)