Datuk Dr Ammar Abd Ghapar

MELAKA – Kekurangan penerbangan carter dari China mendorong kerajaan menawarkan insentif di bawah geran penerbangan bagi mencapai sasaran lima juta pelancong negara itu tahun ini.

Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Dr Ammar Abd Ghapar, ia adalah antara tiga pilihan ditawarkan untuk menggandakan angka apabila hanya 1.4 juta pelancong China ke Malaysia tahun lalu.

Menurutnya, insentif sama juga akan diberikan kepada syarikat sedia ada yang menambah kekerapan penerbangan dan juga menyediakan laluan baharu.

“Sebagai contoh, daripada dua penerbangan seminggu ditingkatkan menjadi empat dan dulu penerbangan dari Beijing ke Kuala Lumpur tapi mewujudkan pula laluan baru ke Pulau Pinang atau Kota Kinabalu.

“Jadi kita telah beri sekurang-kurangnya tiga pilihan kepada syarikat penerbangan untuk menambah kepasiti pelancong dari China untuk mencapai sasaran lima juta tahun ini dan persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026),” katanya.

Tarikan produk pelancongan terbaharu di Melaka Wonderland Theme Park and Resort sehingga dianugerahkan Malaysia Book of Records Largest Lighting Event in Water Theme Park dan First Lighting Event in Water Theme Park.

Beliau berkata kepada media selepas hadir ke Majlis Penganugerahan Malaysia Book of Records Largest Lighting Event in Water Theme Park dan First Lighting Event in Water Theme Park di Melaka Wonderland Theme Park and Resort di sini malam tadi.

Majlis disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Wonderland Seow Cheng Swee.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia khususnya menjelang TMM2026.

Cheng Swee (tiga dari kiri) menerima sijil pengiktirafan

Peruntukan itu turut meliputi geran padanan penerbangan carter dalam meningkatkan kemudahsampaian penerbangan antarabangsa ke Malaysia.

Mengulas lanjut, Ammar berkata selain itu, penganjuran Tahun Melawat Negeri (TMN) di Melaka, Perlis, Perak dan Kelantan tahun ini juga akan menjadi kayu ukur kepada TMM2026.

“TMN di keempat-empat negeri ini akan menjadi kayu ukur dan salah satu momentum kita untuk bersama-sama kerajaan negeri menjayakan TMM2026.

“Justeru, kita berharap pengusaha pelancongan di seluruh negeri dapat memberi nafas baharu kepada produk mereka supaya ia tidak lapuk dan sentiasa dapat menarik pelancong,” katanya. – MalaysiaGazette