NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes buli pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsa (MCKK), Perak pada September lalu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, hasil siasatan insiden itu sudah diserahkan kepada pihak autoriti untuk meneruskan tindakan lanjut.
“Siasatan (kes buli MCKK) daripada pihak kita (KPM) telah selesai dan hasil siasatan juga telah diserahkan kepada pihak autoriti untuk meneruskan apa saja tindakan.
“Dari segi kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) itu di peringkat autoriti. Mereka yang panjangkan ia kepada pihak berkenaan.
“Jadi kita tunggu apa pula tindakan daripada pihak berkaitan,” katanya hari ini.
Beliau berkata kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan MCKK yang mana kertas siasatan kes itu telah diserahkan kepada AGC untuk tindakan lanjut.
ARTIKEL BERKAITAN
Buli MCKK: Polis terima beberapa arahan khusus AGC lengkapkan siasatan
Media pada 9 Disember lalu melaporkan Polis Perak masih menunggu arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) berkait status suspek dalam kes buli pelajar di MCKK, sama ada diteruskan dengan proses pendakwaan atau tidak.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan kertas siasatan kes buli itu sudah dirujuk semula kepada AGC selepas laporan penuh perubatan mangsa diperoleh daripada Hospital Kuala Kangsar.
Beliau juga dilaporkan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang unsur untuk menyelesaikan perkara itu di luar bidang perundangan sama ada daripada pihak ibu bapa, sekolah dan sebagainya.
Dalam kejadian itu, tiga pelajar lelaki tingkatan empat dikatakan telah dipukul empat pelajar tingkatan lima dan mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK menyelar tindakan ahli keluarga pelajar yang menularkan kejadian buli itu dan dianggap memberi imej buruk kepada sekolah berprestij itu. – MalaysiaGazette