Ahli keluarga 'influencer' dikenali Boss Mario yang hilang di Pantai Klebang sejak awal pagi Jumaat lalu buntu memikirkan kehilangannya yang masih belum ada petunjuk sehingga kini.

MELAKA – Ahli keluarga ‘influencer’ dikenali Boss Mario yang hilang di Pantai Klebang sejak awal pagi Jumaat lalu, buntu memikirkan kehilangannya yang masih belum ada petunjuk sehingga kini.

Adiknya, Yew Lee Lee, 27, berkata, abangnya, Yew Boon Xiang, 30, tidak pernah menghilangkan diri sebelum ini biarpun aktif membuat kandungan media sosial berunsur nasihat kepada lebih 400,00 pengikut di media sosial.

Menurutnya, Boon Xiang yang masih bujang juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap atau mengadu mengenai masalah perniagaan kedai aksesori telefon bimbit yang diusahakan sejak lima tahun lalu.

“Saya tinggal bersamanya dan memang kami tiada masalah malah pukul 8 pagi Jumaat lalu, dia sempat menghantar resit pembelian barang dari pelanggan kedai melalui WhatsApp.

“Saya hanya tahu berita kehilangannya selepas diceritakan abang sulung yang melihatnya singgah di kedai di Klebang melalui rakaman sistem kamera litar tertutup kira-kira pukul 3 pagi hari sama,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Pertam Jaya, Semabok di sini.

Berita kehilangan ‘influencer’ dikenali Boss Mario yang mempunyai lebih 400,000 pengikut di media sosial tular meminta orang ramai menghubungi ahli keluarga sekiranya mempunyai sebarang maklumat.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan polis menerima laporan kehilangan Mario di Pantai Klebang, selepas keluar dari rumahnya di Semabok, kira-kira 3 pagi pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, kereta Mario jenis Honda City ditemukan kira-kira pukul 6 petang hari sama diletakkan di kawasan Pantai Klebang dalam keadaan berkunci.

Bercerita lanjut Lee berkata, mereka tiga beradik dan ibu sedih memikirkan kejadian yang berlaku kurang seminggu sebelum sambutan Tahun Baru Cina, Sabtu ini.

“Sekarang ini, nak sambut raya pun kami sekeluarga tiada mood. Kalau nak kata ada isu lain, Mario tidak meninggalkan sebarang nota malah pasportnya juga masih ada di rumah.

“Kami benar-benar buntu memikirkan kejadian ini kerana abang tidak mempunyai musuh dalam perniagaan malah sikapnya disenangi ramai termasuk pekerjanya,” katanya.

Tambahnya, sejak kehilangan Mario, ada beberapa individu menghantar mesej di media sosial mengatakan ternampak abangnya itu di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur namun ia palsu selepas diperiksa polis.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kehilangan Mario boleh menghubungi talian 016-6176690 – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast