KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mengubah kenyataan berkaitan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak selepas Pemuda UMNO mahu membuat laporan polis.
Bekas Ahli Parlimen Ahli Parlimen DAP itu berkata, beliau kecewa dengan amaran yang dibuat oleh Ketua pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Salleh dan mahu bertaubat.
“Oh Ketua Pemuda UMNO mahu laporan polis terhadap Pua yang ‘kurang ajar’. Saya rasa hari-hari laporan polis saya sudah tamat. Dan missus saya kecewa, jadi lebih baik saya bertaubat.
“Najib yang dihormati, saya sangat teruja untuk mendengar 50 peratus hukuman anda diringankan kepada 2028, dan pengurangan denda sebanyak 74 peratus daripada RM210 juta.
“Saya juga berbesar hati mendengar bahawa untuk penahanan tambahan setahun atas keredhaan baginda, anda akan terus menjimatkan RM50 juta,” katanya dalam perkongsian di media sosial hari ini.
Pua berkata, beliau pasti Najib akan menggunakan semua simpanan yang diperolehi untuk membantu anak yatim dan fakir miskin seperti yang telah dilakukan oleh bekas perdana menteri itu pada masa lalu.
Tambah beliau, sekiranya Najib menunjukkan ‘kelakuan baik’ hukuman penjaranya akan dipendekkan dan boleh berkempen untuk UMNO pada Pilihan Raya Umum 2027.
“Sementara itu, saya juga faham bahawa isteri tersayang anda mungkin akan menyertai anda selama beberapa tahun untuk menemani anda.
“Bagi kes tertunggak anda mengenai 1MDB. Saya tidak risau. Lagi pun, bekas timbalan anda berjaya mendapatkan DNAA untuk dirinya sendiri. Dalam senario kes terburuk, kami boleh meminta lebih banyak diskaun. Alangkah gembiranya! Kami semua menanti. Tunggu di situ!” katanya.
Pua berharap dengan catatan yang penuh penyesalan tersebut beliau akan mendapat pengampunan daripada Pemuda UMNO dan terhindar dari perjalanan ke Bukit Aman.
Muhamad Akmal sebelum ini berkata, Pua bersikap biadab apabila menyindir keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berhubung pembebasan Najib.
Katanya, laporan polis akan dibuat susulan tindakan bekas Setiausaha Publisiti DAP itu mempertikaikan kata putus yang dibuat oleh Yang Di-pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, 29 Januari lalu.-MalaysiaGazette
hahahaha Pua gentlemen . hidup Pua