Bank Muamalat Malaysia Berhad baru-baru ini menyahut seruan kerajaan untuk meneruskan kesinambungan kempen #GengSubuhMacamJumaat yang diilhamkan oleh selebriti terkenal tanah air, Alif Satar.

KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad baru-baru ini menyahut seruan kerajaan untuk meneruskan kesinambungan kempen #GengSubuhMacamJumaat yang diilhamkan oleh selebriti terkenal tanah air, Alif Satar.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya melihat usaha untuk menghimpunkan jemaah khususnya anak muda ke masjid dan surau itu sebagai satu inisiatif yang harus disemarakkan dan disambut baik oleh semua pihak terutama sektor korporat yang berlandaskan prinsip Islam.

“Bank Muamalat telah menganjurkan program tersebut di empat negeri bermula Sabtu lalu.

“Kempen pertama berlangsung di Selangor pada 2 Februari yang lalu dengan kerjasama daripada Masjid At-Taqwa Bandar Bukit Mahkota, Bangi,” katanya dalam satu kenyataan.

Kempen seterusnya akan diadakan di Kelantan pada 16 Februari 2024 (Jumaat), di Melaka pada 17 Februari 2024 (Sabtu) dan di Pahang pada 24 Februari 2024 (Sabtu).

Menurut Khairul, sebagai sebuah institusi perbankan Islam, Bank Muamalat komited untuk menjadi bank pertama yang menyambut usaha murni itu melalui program tanggungjawab sosial korporat yang giat dijalankan di seluruh negara.

Katanya, menjelang bulan Ramadan, program seperti itu harus diluaskan supaya ia akan menjadi satu sumber pahala untuk diteruskan sepanjang bulan puasa dan bulan-bulan seterusnya.

Tambah Khairul, dengan komitmen untuk mencipta ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’, Bank Muamalat turut bercadang untuk memperluaskan program #GengSubuhMacamJumaat itu ke negeri-negeri lain. – MalaysiaGazette