Seorang pembantu jurutera maut manakala seorang jurutera parah dalam kemalangan dua kenderaan di lampu isyarat Taman Paya Emas Lebuh Sungai Udang - Paya Rumput - Ayer Keroh (SPA) malam tadi.

MELAKA – Seorang pembantu jurutera maut manakala seorang jurutera parah dalam kemalangan dua kenderaan di lampu isyarat Taman Paya Emas Lebuh Sungai Udang – Paya Rumput – Ayer Keroh (SPA) di sini malam tadi.

Mangsa, Amir Asyraaf Abdul Zalil, 24,  menunggang motosikal jenis Yamaha YZF-R15M meninggal dunia di lokasi akibat parah dalam nahas kira-kira pukul 9.15 malam itu.

Seorang lagi mangsa, jurutera Petronas, Shahrom Nizam Sukri, 38, parah di kepala dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Keadaan motosikal yang remuk teruk selepas terbalik dalam nahas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian Amir Asyraaf dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM), Batu Berendam ke Masjid Tanah.

“Tiba-tiba sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu Shahrom dari arah Sungai Udang telah membelok ke arah kanan jalan menyebabkan berlaku rempuhan kuat oleh penunggang motosikal yang bergerak lurus.

“Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi yang disahkan pegawai perubatan, manakala pemandu Viva parah di kepala dan kini diintubasi di Hospital Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keadaan kereta yang remuk teruk selepas terbalik dalam nahas berkenaan.

Mengulas lanjut,  beliau berkata, pegawai penyiasat telah mendapatkan rakaman papan pemuka kereta daripada orang awam.

Ketika kejadian kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis syif bekerja.

Christopher menambah, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, video kemalangan berkenaan berdurasi 21 saat turut tular di media sosial sejak malam tadi.

Ia memaparkan motosikal berkenaan sedang bergerak lurus kerana lampu hijau sebelum merempuh kereta Viva yang membelok di persimpangan lampu isyarat hingga terbalik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast