Panglima Tentera Laut memakaikan beret Paskal kepada penuntut kursus yang berjaya.

KUALA LUMPUR – Hanya 17 daripada 87 pelatih Kursus Asas Pasukan Khas Laut (Paskal) Siri 73/23 yang lulus dan menerima Beret Ungu Paskal.

Kursus yang bermula 11 September lalu berakhir hari ini, menerusi empat peringkat iaitu kem, hutan, laut dan paya.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, untuk sampai ke tahap ini, setiap pelatih telah menempuh pelbagai latihan dan cabaran yang menguji tahap kemahiran ilmu medan perang, dan menuntut kekuatan mental serta fizikal yang sangat tinggi.

“Pada awalnya, kursus ini telah disertai oleh seramai 87 pelatih, yang terdiri daripada seorang pegawai TLDM, 77 anggota lain-lain pangkat TLDM, dan 9 orang anggota APMM.

” Namun pada hari ini, hanya 17 orang pelatih, yang terdiri daripada 14 anggota TLDM, dan 3 Anggota APMM, berjaya menamatkan kursus ini. Ini jelas menunjukkan Paskal adalah sebuah pasukan yang sangat mengutamakan kualiti, serta hanya yang terbaik mampu bertahan, dan
lulus hingga ke peringkat akhir,” katanya ketika berucap Majlis Penganugerahan Beret Kehormat PASKAL, Perasmian Rempuh Halangan ARBA 1989 dan Penutup Kursus Asas Paskal Siri 73/23.

Majlis itu diadakan di atas Kapal Diraja (KD) Panglima Garang, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini, hari ini.

Demonstrasi oleh penuntut asas Paskal.

Dalam ucapannya, Abdul Rahman melahirkan rasa kagum dengan pegawai dan anggota tentera yang menjadi seorang Paskal.

“Kerjaya sebagai seorang PASKAL amatlah berbeza dan mencabar. Ia menuntut sifat keberanian, kecekalan, ketabahan, keupayaan fizikal dan minda yang tinggi sewaktu menjalani latihan dan di sepanjang perkhidmatan,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan anggota bahawa kejayaan hari ini hanyalah titik permulaan dan langkah pertama dalam Paskal.

Menurut beliau, ancaman terhadap keselamatan negara kini menjadi semakin kompleks, dengan kemunculan era globalisasi, yang membawa bersamanya kemajuan teknologi, terutamanya dalam aspek kecerdasan buatan (AI).

Oleh itu, kekuatan fizikal sahaja tidak mencukupi, malah turut memerlukan peningkatan keupayaan secara holistik, berpegang kepada Trilogi 3M iaitu anggota, peralatan dan cara (man, machine and method).

Tambahnya, bagi membentuk sebuah ketumbukan yang kredibel, dan menepati kemajuan teknologi, seiring dengan angkatan masa hadapan yang diilhamkan, ketiga-tiga perkara ini sangat penting, dan perlu diambil berat oleh kepimpinan Paskal.

Ia merangkumi aspek penyediaan warga Paskal yang cergas dan berilmu, penyediaan kelengkapan yang terbaik dan berteknologi tinggi, serta proses atau prosedur yang kreatif dan inovatif, tanpa mengabaikan aspek keselamatan.

Dalam majlis itu beliau turut merasmikan pembinaan rempuh halangan yang terdiri daripada 13 halangan, dengan jarak litar sejauh 1.15 kilometer yang menekankan aspek kekuatan upper body ini dibina, bagi meningkatkan tahap fizikal dan mental anggota Paskal ke tahap yang maksimum.

“Jika Pasukan Navy SEALS, Tentera Laut Amerika Syarikat mempunyai kursus halangan mereka yang terkenal, dan boleh dibanggakan di Coronado, saya mahukan setiap warga Paskal, turut berbangga, dengan fasiliti rempuh halangan baharu, bertaraf antarabangsa yang telah disediakan ini. Gunakan fasiliti ini dengan sebaiknya, untuk memantapkan stamina dan agility (ketangkasan), kerana ia berkait secara langsung dengan tugas teras anggota Paskal,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast