Datuk Seri Yahaya Othman menunjukkan cip elektronik milik Telekom Malaysia yang berjaya dirampas dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lipis.

KUANTAN – Polis berjaya menyelesaikan kes kehilangan 451 cip elektronik membabitkan 29 lokasi di Pahang bernilai RM1.2 juta.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya menerima aduan dua laporan yang dibuat oleh Telekom Malaysia bermula bulan Disember 2023 hingga Januari 2024 berhubung isi berkenaan.

”Kehilangan dan kecurian sebanyak 451 ceping cip elektronik komputer di 29 lokasi Kabinet Telekom Malaysia Berhad di daerah Lipis, Raub, Bera, Bentong, Jerantut, Maran dan Kuantan.

”Kecurian ini telah menyebabkan gangguan talian telefon dan internet kepada penduduk di kawasan berkenaan serta mengalami kerugian melebihi RM1.2 juta merangkumi kos operasi dan pengguna,” katanya ketika sidang media di IPK Pahang hari ini.

Susulan itu, Yahaya berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Lipis telah berjaya menangkap seorang lelaki berusia 35 tahun di Mentakab, Temerloh hasil risikan pada 30 Januari lalu.

Suspek mempunyai rekod jenayah melibatkan dua kes di bawah Akta Penagih Dadah 1983, tiga kes di bawah dadah berbahaya dan dua kes jenayah termasuk satu kes wanted curi cip Telekom Malaysia di Lipis, Pahang.

”Siasatan mendapati suspek bekerja sebagai service technical multi service access node sejak tahun 2017 kepada sebuah syarikat sub kontraktor yang dilantik oleh Telekom Malaysia Berhad bagi kerja-kerja penyelenggaran di kawasan Pahang Barat.

”Suspek melakukan jenayah ini seorang diri di mana pergi ke kabinet Telekom yang biasanya berada di tepi jalan dan membuka kabinet menggunakan kunci pendua yang ada padanya,” katanya.

Menurut Yahaya, lelaki itu kemudiannya mengambil beberapa keping cip elektronik komputer dan suspek akan menjualnya di kedai barang lusuh di Lipis dengan harga RM30 setiap satu kilogram (kg).

Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan membencanakan kabel dan boleh dihukum dengan penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan mencuri dan boleh dihukum dengan penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Kini suspek sedang ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosuder Jenayah sehingga 8 Februari bagi tujuan siasatan lanjut. – MalaysiaGazette