ALOR SETAR – Polis Kedah kini sedang menjalankan siasatan berhubung kematian seorang tahanan kes dadah di Langkawi dekat sini pada 29 Januari lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek berusia 31 tahun yang dilihat mencurigakan sebelum itu telah ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi selepas berlaku pergelutan antara mereka.
Kata beliau, suspek luka pada kening kanan, leher kiri, telinga kanan, tangan kanan dan lutut kanan, manakala pegawai tangkapan dan tiga anggota turut mengalami kecederaan kecil.
Polis turut menemui satu keratan penyedut minuman mengandungi 0.21 gram disyaki heroin di dalam poket seluar hadapan sebelah kanan selain dia positif dadah sebelum ditahan di IPD Langkawi.
“Bagaimanapun, pada sebelah malam kira-kira pukul 8, suspek dibawa ke Klinik Kesihatan Kuah untuk rawatan sebelum dia rebah dan tidak sedarkan diri.
“Dia kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha dan ditahan di zon merah Wad Kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia jam 12.40 tengh malam pada Khamis lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Fisol, hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada 2 Februari mendapati lelaki itu meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala akibat senjata tumpul (blunt force trauma to the head).
“Justeru, satu siasatan dijalankan bagi menyiasat dan mengetahui punca sebenar penyebab kematian suspek.
“Kita juga sentiasa profesional dan telus dalam menjalankan siasatan serta akan mendakwa sesiapa sahaja walaupun melibatkan pegawai dan anggota polis,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fisol turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggangu siasatan. – MalaysiaGazette