Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempamer bakat baginda dalam tulisan kaligrafi semasa kunjungan ke Triang, Bera hari ini

BERA – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyantuni masyarakat Tionghoa di Triang.

Kunjungan ke Bera memberi peluang kepada baginda mendengar taklimat tentang sejarah pembukaan bandar itu.

Menurut kenyataan Istana Pahang, keberangkatan baginda mendapat sambutan meriah daripada masyarakat setempat ketika melawat Galeri Warisan dan SJK (C) Triang 1 untuk menelurusi terowong sejarah 100 tahun, sekolah dan bandar Triang.

Baginda turut mencemar duli bersama rakyat di Triang dan berkenan menyampaikan kurnia kepada 533 orang murid pelbagai kaum termasuk murid orang kurang upaya OKU, anak yatim, miskin dan keluarga ibu tunggal.

Baginda turut menyantuni guru dan murid sekolah serta beramah mesra menyertai aktiviti kraf Tahun Baharu Cina dan sempat meluangkan masa bergambar dengan rakyat.

Tengku Hassanal meneruskan ziarah kasih ke sembilan buah rumah fakir miskin, pesakit terlantar dan pesakit kronik di Kampung Baru Triang.

Hadir mengiringi baginda Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Leong Yu Man, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan,  dan Pegawai Daerah Bera, Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif @ Ahmat. – MalaysiaGazette