Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR – Tiada boikot atau gesaan supaya UMNO menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan semasa Perjumpaan Tertutup Khas bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad lalu.

Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, meskipun terdapat ketidakpuasan dan kekecewaan akar umbi dinyatakan dalam mesyuarat tersebut apabila Datuk Seri Najib gagal mendapatkan pengampunan penuh, namun tada gesaan menarik sokongan terhadap kerajaan dinyatakan. 

Katanya, ini kerana UMNO masih mempunyai ruang untuk membuat permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17.

“Mestilah ada, sebab itulah kita adakan pertemuan itu nak sebutkan kuasa YDPA (Yang di-Pertuan Agong) dan itu tidak hentikan usaha kita ruang itu masih ada seperti PM sebut kita masih ada ruang rayu Agong baru.

“Tidak ada satu pun yang saya terima bertulis, Whatsapp atau secara terbuka. Saya yang pengerusikan perjumpaan tersebut Presiden bercakap tidak ada siapa pertikai dan menuntut, pelik juga kenapa nak keluar ini bukan mana-mana parti ini kuasa Agong, nak marah siapa?,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan berita baru-baru ini bahawa terdapat gesaan supaya UMNO menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Gesaan berkenaan didakwa timbul semasa Perjumpaan Tertutup Khas bersama Ahmad Zahid.

Dilaporkan, pemimpin  yang enggan namanya disiarkan berkata, segelintir ketua bahagian menyokong gesaan tersebut selepas Najib gagal mendapat pengampunan penuh terhadap kes SRC International.

Terdahulu, Asyraf Wajdi berkata, seramai 171 Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang hadir perjumpaan berkenaan termasuk Exco Wanita, Puteri dan Pemuda.

Bagaimanapun, tambah beliau, seramai 20 Ketua Bahagian UMNO tidak hadir atas alasan-alasan tertentu seperti mengerjakan umrah dan berada di luar negara.

Mengulas lanjut Asyraf berkata, Zahid sebagai Presiden bersifat terbuka untuk berhadapan dengan akar umbi demi memberi pencerahan berkenaan keputusan UMNO semasa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sehari sebelum pertemuan tertutup itu.

“Presiden sendiri bersifat terbuka berhadapan dengan semua  kepimpinan kerana memang itulah harapan kepimpinan UMNO mereka memahami bahawa ini adalah kuasa mutlak YDPA, ini yang termaktub dalam perlembagaan sebab itu saya diminta oleh Presiden buat kenyataan untuk minta semua jangan pertikai kuasa YDPA,” jelasnya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO terbuka dengan setiap pandangan yang disuarakan berkenaan pengampunan Najib.

Namun katanya, pandangan perlu berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang  menetapkan YDPA boleh membuat keputusan mengurangkan hukuman tanpa nasihat Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Keputusan menarik sokongan kepada Anwar Ibrahim hanya keputusan secara end block so siapa pun walaupun 20 MP BN nak keluar…. mengucaplah banyak-banyak.
    Begitu juga labon nak rayu YDPA, ingat itu company UMNO ke? Lembaga Pengampunan itu ada penasihat jika yang pertama tidak mengeluarkan nasihat maka kirim Salam banyak-banyak. Penyokong Najib harus abaikan sahaja dan tidak perlu menjilat gula kerana akan menambah penyakit.

Comments are closed.