Cikgu Mohd Fadli Salleh bersama para pelajarnya.

KUALA LUMPUR – Guru matematik yang lantang bersuara mengenai sistem pendidikan negara, Cikgu Mohd Fadli Salleh mengesahkan beliau memilih bersara awal.

Tapi bukan kerana kecewa dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Bahkan saya terlalu sayangkan KPM dan dunia pendidikan.

“Cuma adab Melayu, bila bertandang ke rumah orang, tidak molek kita membuat onar sesuka hati.

“Saya tak mahu jadi tetamu yang biadab terhadap tuan rumah yang baik hati. Kerana kasih dan menghormati tuan rumah saya undur diri,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Tambahnya, beliau akan terus berada dalam bidang pendidikan, cuma berbeza haluan.

“Suara saya akan sentiasa ada. Terima kasih buat seluruh warga KPM selama ini. Maafkan diri ini atas apa jua salah silap selama masa,” ujarnya.

Cikgu Mohd Fadli Salleh dikenali kerana begitu mengambil berat tentang isu-isu pendidikan termasuk membangkitkan isu beg berat, pembelajaran matemetik dan sebagainya.

Beliau sudah 18 tahun bertugas sebagai pendidik sejak Disember 2009.

Kariernya bermula di SK Mambang, Pekan Pahang pada 2006 dan tamat di SK 1 Gombak pada Februari 2023.

Cikgu Fadli pernah mencetuskan kontroversi pada tahun 2022 apabila mendakwa bakal dikenakan tindakan buang kerja kerana menyuarakan isu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) melibatkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Mohd Fadli mendakwa, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang masalah disiplin atau dengan ibu bapa pelajar sekolah.

Pertuduhan itu dibuat kerana cikgu berkenaan memuat naik hantaran di platform media sosial Facebook mengenai jadual waktu serta mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah.

Namun, Lembaga Tatatertib Kementerian Pendidikan Malaysia membuat keputusan bahawa Cikgu Mohd Fadli tidak bersalah dan bebas daripada sebarang tindakan tatatertib berhubung kontroversi yang sedang melanda. – MalaysiaGazette