Kok Chin menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya selepas merasmikan pelancaran Op Selamat 21/2024 Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua arah selatan di sini.

BUTTERWORTH – Kertas siasatan berhubung lima anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang terlibat dalam kes pemerasan seorang pekerja kilang kini sedang diteliti Bukit Aman.

Ketua Polis Pulau Pinang, Khaw Kok Chin berkata, kertas siasatan tersebut sudah dilengkapkan oleh pegawai penyiasat di sini sebelum diserahkan ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk penelitian.

“Kita dah serah (kertas siasatan) hari ini dan ia masih dalam penelitian pihak berkenaan, setakat ini kita belum terima apa-apa arahan lanjut.

“Selepas kita terima kertas siasatan lengkap daripada D5 baru ia akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Negeri (PPN) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini.

Terdahulu Kok Chin, merasmikan pelancaran Op Selamat 21/2024 Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua arah selatan, di sini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada kesemua anggota terlibat secara langsung atau sebaliknya, Kok Chin berkata, beliau tidak boleh mengulas kerana ia boleh mengganggu siasatan.

“Saya tak boleh komen berapa anggota terlibat nanti bercanggah dengan siasatan.

“Seeloknya perkara itu kena dapat keputusan daripada PPN negeri baru kita boleh pastikan berapa ramai dituduh serta siapa saksi.

“Bersabarlah, sekiranya memang mereka (anggota) terlibat dalam kes ini kita akan lihat keputusan sama ada didakwa atau sebaliknya dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah Kok Chin, kesemua anggota yang terlibat dalam kes ini masih dalam tahanan reman.

“Reman terhadap semua anggota polis itu dilanjutkan sehingga 9 Februari ini,” tegas beliau.

ARTIKEL BERKAITAN

Lima anggota MPV ditahan peras ugut pekerja kilang RM4,500

Media pada 3 Februari lalu melaporkan lima anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) termasuk seorang berpangkat Sarjan diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kes peras RM4,500 daripada pekerja kilang dalam kejadian di Jalan Permatang Tinggi di sini.

Masing-masing berusia antara 24 hingga 48 tahun yang berkhidmat di Ibu Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) itu ditahan pada 2 Februari selepas lelaki berusia 27 tahun itu membuat laporan berhubung kejadian itu. – MalaysiaGazette