KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 buah bas ekpres disekat dan tidak dibenarkan berada di atas jalan raya selepas mendapati tidak mencapai standard keselamatan yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, tindakan itu diambil menerusi pemeriksaan yang dalam Op Khas Terminal sempena bulan sambutan Tahun Baharu Cina 2024 kali ini.
Katanya, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap sebanyak 2,801 bas ekspres di 28 terminal di seluruh negara sejak 1 Februari hingga hari ini.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 44 buah bas ekspres telah diambil tindakan dengan 13 daripadanya tidak dibenarkan berada di jalan raya kerana tahap keselamatan yang rendah, tidak mencapai standard keselamatan ditetapkan selain tidak selamat untuk penumpang.
“Selain itu, kami juga telah menjalankan ujian saringan urin terhadap seramai 187 pemandu bas ekspres setakat ini empat daripadanya dikesan positif dadah,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Op Khas Terminal di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Sungai Besi malam tadi.
Tambah Lokman, kes empat pemandu bas ekspres diuji positif dadah terlarang itu telah diserahkan kepada pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut berlandaskan undang-undang.
“Cuba bayangkan sekiranya mereka (empat pemandu) dibenarkan berada di jalan raya dengan memandu bas-bas ini, kita boleh lihat ia membawa kepada risiko kemalangan terhadap penumpang yang menggunakan perkhidmatan awam.
“Selain itu, kita juga telah memeriksa syarikat-syarikat pengendali bas ekspres serta pemandunya di seluruh negara sama ada mereka masih memiliki tunggakan saman JPJ mahu pun polis yang masih belum dijelaskan,” katanya lagi.
Pemeriksaan teknikal turut dijalankan terhadap tayar, brek dan peralatan keselamatan bas ekspres untuk menentukan ia dalam keadaan baik serta memastikan perjalanan penumpang ke destinasi yang dituju selamat.
Justeru JPJ turut memeriksa buku log setiap bas ekspres ini bagi memantau pergerakannya sentiasa berada dengan sempurna tanpa sebarang masalah, katanya.
“Kami akan meneruskan pemeriksaan ini secara lebih rutin dari semasa ke semasa sepanjang bulan perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah yang bermula sejak 1 hingga 29 Februari nanti untuk menjamin keselamatan semua pihak.
“Pada masa sama, kami juga memohon kerjasama orang ramai khususnya penunggang atau pembonceng motosikal untuk menggunakan kenderaan perkhidmatan awam seperti bas ekspres yang dilesenkan untuk keselamatan diri.
“Penggunaan kenderaan awam ini bagi perjalanan jarak jauh atau balik kampung akan dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta risiko kemalangan khususnya bagi penunggang serta pembonceng motosikal di jalan raya.
“JPJ sangat memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik serta pemandu bas ekspres termasuk mana-mana pengguna jalan raya yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette